Jumaat, 3 Februari 2017 | 12:20pm

300 nelayan terima bantuan petrol percuma di Kedah


GOLONGAN nelayan berbaris untuk mendapatkan 25 liter minyak petrol secara percuma yang disumbangkan oleh Etiqa Takaful dan Islamic Aid Malaysia di stesen minyak Caltex, Kampung Sungai Dedap, Kota Sarang Semut. Seramai 300 orang nelayan dari sekitar kawasan negeri Kedah telah terpilih dalam program ini. - Foto Amran Hamid

YAN: Seramai 180 nelayan persisir pantai dari kawasan Kuala Sala, di sini, menerima bantuan zakat dalam bentuk petrol sempena program Bantuan Minyak Enjin Bot anjuran bersama Islamic Aid Malaysia (IAM) dan Etiqa Takaful di sini, pagi ini.

Semua 180 nelayan itu adalah antara 300 yang disenarai layak menerima bantuan berkenaan oleh pihak penganjur di dua lokasi di Kedah, dengan pengagihan kepada 120 penerima lagi dijadual di Tasik Pedu, dekat sini, pada petang ini.

Presiden IAM, Zawahir Abdullah, berkata Kedah adalah negeri ketiga yang dijelajahi selepas Johor dan Pahang yang terbabit dalam program itu dan selepas ini pihaknya akan meneruskan aktiviti sama di Pulau Pinang dan Kelantan.


AHLI Lembaga Pengarah dan Ahli Jawatankuasa Syariah Etiqa Takaful, Dr Ismail [email protected] Hassan (dua dari kiri) mengisi minyak petrol untuk diberikan secara percuma kepada golongan nelayan di stesen minyak Caltex, Kampung Sungai Dedap, Kota Sarang Semut. Seramai 300 orang nelayan dari sekitar kawasan negeri Kedah telah terpilih dalam program ini.

"IAM dengan bantuan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di setiap lokasi terbabit bekerjasama untuk mengenal pasti penerima yang layak berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan.

"Seramai 300 orang penerima yang layak akan dipilih untuk setiap negeri yang dikunjungi dan setiap orang akan menerima bantuan bernilai RM50 iaitu membabitkan kira-kira 25 liter petrol RON95 secara percuma," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pengagihan petrol percuma kepada 180 nelayan pesisir pantai di stesen minyak Caltex di Kampung Sungai Dedap, dekat Kota Sarang Semut di Jalan Yan, di sini, sebentar tadi.

"Di Kedah hari kami memilih dua lokasi iaitu di Kuala Sala pada sebelah pagi dan satu lagi di Tasik Pedu yang membabitkan 120 penerima pada sebelah petang nanti," katanya.

Berita Harian X