Jumaat, 3 Februari 2017 | 3:40pm

4 remaja terkandas di Gunung Baling

MANGSA yang tersesat di Gunung Baling ditemui selamat selepas mereka tersesat kira-kira dua jam di puncak Gunung Baling. - Foto ihsan bomba

BALING: Empat remaja terkandas lebih dua jam di Gunung Baling, di sini, selepas dikatakan tersasar laluan ketika menuruni puncak gunung itu tengah hari tadi.

Semua empat remaja berasal dari Alor Setar itu dikatakan mendaki gunung berkenaan jam 8.30 pagi tadi, namun gagal menjejaki laluan turun kira-kira tiga jam kemudian.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Baling, Pegawai Bomba Kanan Shuid Abdul Rahman, berkata sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi sejurus menerima maklumat untuk menjalankan operasi menyelamat dengan dibantu malim gunung dan Sahabat Bomba Baling.

"Kita menerima panggilan jam 11.59 pagi dan sebaik sampai di lokasi jam 12.06 tengah hari, operasi segera digerakkan sehingga empat remaja berkenaan berjaya ditemui di ketinggian 350 meter (m).

"Semua mangsa tidak mengalami kecederaan dan dibantu sehingga berjaya menuruni gunung dengan selamat jam 2.20 petang tadi," katanya.

Shuid pada masa sama mengingatkan orang ramai yang tidak pernah mendaki gunung itu supaya melaporkan diri terlebih dahulu kepada pihak berkuasa dan mendapat khidmat malim gunung yang mahir dengan selok-belok lokasi itu bagi mengelakkan tersesat, selain berlaku perkara tidak diingini.

"Jangan ambil mudah kerana keadaan geografi gunung itu berbatu dan licin...ia cukup berisiko dan boleh menyebabkan mereka tergelincir dan jatuh, lebih-lebih lagi dalam keadaan musim hujan sekarang," katanya.

Berita Harian X