Jumaat, 3 Februari 2017 | 4:06pm
KETUA Jurulatih Kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
KETUA Jurulatih Kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Kim Swee 'berguru' di England sebulan

KUALA LUMPUR: Jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee bakal 'berguru' dengan kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Queens Park Rangers (QPR) di England selama sebulan.

Kim Swee akan berlepas ke London bersama penolong jurulatih Harimau Malaysia, Brad Maloney Selasa ini hingga 8 Mac dan ia ditaja sepenuhnya oleh syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan pelbagai program sudah disusun bagi memastikan tempoh sebulan Kim Swee di London akan memberi manfaat dan faedah sepenuhnya untuk beliau dan skuad kebangsaan.

"Mereka (Kim Swee dan Brad) akan diberi kesempatan untuk berbincang mengenai kaedah latihan, taktikal dan persiapan menjelang perlawanan untuk mempelajari sesuatu yang baharu," katanya pada sidang media di Wisma FAM, hari ini.

Ilmu dari QPR itu dilihat berguna untuk Kim Swee mempersiapkan skuad Harimau Malaysia menjelang perlawanan Kumpulan B pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019 berdepan Korea Utara, 28 Mac ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun berkata, jemputan itu adalah permulaan kepada jalinan kerjasama antara FAM dan QPR yang turut akan membabitkan penghantaran jurulatih dan pemain ke kelab berkenaan serta kehadiran pakar dari QPR ke negara ini.

"Selain itu, kita turut akan membawa pakar dari QPR datang ke negara ini bagi membantu terutama dari segi program latihan di peringkat remaja.

"Kerjasama jangka panjang ini adalah salah satu sumbangan ikhlas kami dalam membantu perkembangan bola sepak Malaysia," katanya.

Berita Harian X