Jumaat, 3 Februari 2017 | 7:53pm

BAM sukar cari pengganti saya - Chong Wei

PEMANGKU Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamed Al-Amin Abdul Majid (kanan) berbual dengan pemain nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei. -Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei mahu semua pihak berhenti berharap untuk melihat Malaysia bakal melahirkan seorang lagi pemain sepertinya.

Sebaliknya, pemain nombor satu dunia itu menggesa Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meningkatkan kualiti pemain perseorangan lelaki negara secara menyeluruh berbanding hanya memberi tumpuan terhadap seorang atau dua pemain.

"Saya fikir semua orang tahu acara perseorangan lelaki dalam keadaan tenat. Jadi, lupakan saja nak mencari pengganti kepada Chong Wei.

"Secara peribadi, saya merasakan ia akan mengambil masa selama 20 hingga 30 tahun untuk mendapat pemain seperti saya, Lin Dan (China), Taufik Hidayat (Indonesia) atau Peter Gade (Denmark). Bukan saya mahu berlagak tetapi inilah hakikatnya.

"Semua pemain muda yang kita ada sekarang masih jauh ketinggalan di belakang saya, malah nak menyaingi saya ketika latihan pun tidak boleh," kata Chong Wei ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Kebangsaan (ABM) di Bukit Kiara, hari ini.

Chong Wei yang juga pemenang pingat perak Olimpik tiga kali, percaya adalah lebih realistik BAM melahirkan pemain seperti Muhamad Hafiz Hashim atau bekas naib juara dunia 2003, Wong Choong Hann.

"Situasi ini juga sebenarnya dialami Indonesia, China dan Denmark. Mereka juga masih gagal mencari pengganti kepada Taufik, Lin Dan dan Peter Gade.

"BAM seharusnya membentuk pemain seperti Hafiz atau Choong Hann, keputusan mereka ketika bergelar pemain juga tidak kurang hebatnya. Namun, sudah pasti mereka tidak boleh menyamai pencapaian kami.

"Semua orang tidak tahu betapa sukarnya untuk berada di atas bagi tempoh yang lama. Mungkin untuk memenangi satu atau dua kejohanan mudah, tetapi sukar untuk lakukannya secara konsisten.

"Bergelar pemain nombor satu dunia untuk tempoh tujuh tahun, memenangi banyak kejuaraan Siri Super dan tiga pingat perak Olimpik bukan kerja yang mudah," katanya.

Chong Wei yang berehat panjang daripada kejohanan sejak kali terakhir menyertai Siri Super Akhir di Dubai, Disember lalu akan memulakan aksi pada saingan Seluruh England, 7 hingga 12 Mac depan.

Berita Harian X