Jumaat, 3 Februari 2017 | 9:54pm

KRM gembira AirAsia taja Liga Ragbi Malaysia

KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes. - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: AirAsia bekerjasama dengan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) untuk menaja kejohanan julung kali diadakan Liga Ragbi Malaysia (MRL) yang bermula esok.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata komitmen KRM dalam pembabitan bakat muda dan komuniti akar umbi memberi galakan kepada beliau untuk terbabit dalam sukan berkenaan buat pertama kali.

"Ragbi adalah sukan yang mempunyai semua elemen untuk memecah halangan dan saya telah menyaksikan kesungguhan atlet ini semasa bermain. Kami suka merealisasikan impian dan kami teruja untuk menjadi penyokong jangka panjang kepada sukan hebat ini bersama KRM," katanya dalam satu kenyataan.

Syarikat penerbangan tambang murah itu sebelum ini menaja pasukan bola sepak seperti Manchester United, Queens Park Rangers (QPR) dan Persatuan Bola sepak Singapura (FAS), selain terbabit dengan pasukan Formula Satu, Caterham.

MRL akan menggantikan Liga Super Ragbi Malaysia (MRSL) dan Kejohanan Antara Kelab Kebangsaan NICC), yang bakal ditandingi 39 pasukan.

Sementara itu Presiden KRM, Shahrul Zaman Yahya percaya pembabitan AirAsia akan membantu membangunkan sukan ragbi di negara ini.

"Selain MRL, kami juga teruja apabila AirAsia berminat dalam Program Pembangunan Ragbi Kebangsaan (NRDP) dan program Get Into Rugby (GIR) yang membolehkan semua orang bermain ragbi.

"Kami sedia untuk bekerjasama dengan AirAsia pada masa depan untuk menjadikan wawasan ragbi profesional sebagai realiti," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X