Sabtu, 4 Februari 2017 | 12:08am

Resipi mudah ayam masak lemak cili api

MASAKAN Ayam Masak Lemak Kuning oleh Chef Razali Idris dari Hotel Grand Millennium, Kuala Lumpur. - Foto Amirudin Sahib

MENU ayam masak lemak cili api sememangnya terkenal di Negeri Sembilan. Cara penyediaannya ringkas manakala bahan diperlukan mudah didapati tetapi kata orang, teknik memasaknya perlu tepat supaya santan tidak pecah dan kuah nampak cantik.

Berkongsi resipi mudah, Cef Sous, Razali Idris dari The Mill Cafe di hotel Grand Millennium Kuala Lumpur, berkata petuanya, kawal penggunaan air supaya kuah tidak terlalu cair.

Beliau berkata, juadah ini enak dimakan bersama nasi panas ketika waktu tengah hari bersama keluarga.

"Ada banyak versi ayam masak lemak seperti resipi ala Minang, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka. Bagi kebanyakan orang Jawa, mereka gemar memakannya bersama sambal goreng dan bergedel. Resipi asli dari Negeri Sembilan pula tidak menggunakan bawang. Selain itu, petua turun temurun yang dikekalkan hingga kini juga adalah tidak menggunakan minyak ketika menumis.

"Kita kacau ayam bersama bahan tumbuk iaitu cili dan kunyit hidup di atas kuali tanpa lekat yang panas. Air dipanggil lemak dari ayam akan keluar secara perlahan supaya rasa ayam lebih enak dan membuang bau hanyir," katanya.

Kurangkan rasa pedas

Beliau berkata, ada orang suka menambah ikan bilis halus supaya lebih lazat dan terasa lemaknya. Ada juga suka menambah belimbing buluh atau nanas supaya hidangan lebih lengkap dengan adanya sayuran.

"Selain itu, boleh juga menambah kentang dan asam gelugor supaya kurang rasa pedas cili. Jadi, anak kecil pun boleh nikmati hidangan itu tanpa ada tindak balas kurang selesa pada perut," katanya.

Aroma Kulinari minggu ini, berkongsi resipi mudah ini yang hanya memerlukan masa penyediaan selama 20 minit. Cubalah dan nikmati rasa lemak dan kelembutan ayam bersama keluarga.

BAHAN-BAHAN untuk masakan Ayam Masak Lemak Kuning. - Foto Amirudin Sahib

Bahan;

1.8 kilogram ayam siap dibasuh dan ditoskan

10 biji cili api (ditumbuk lumat)

1 inci kunyit hidup (ditumbuk bersama cili api)

1 batang serai (dititik)

1 keping asam gelugor 

1 helai daun kunyit (dihiris)

1 kotak santan

Air 1 cawan

Garam secukup rasa

Cara penyediaan:

1. Panaskan kuali dengan api kecil tanpa minyak.

2. Masukkan ayam, cili api dan kunyit hidup yang telah ditumbuk serta serai, kemudian gaul sehingga rata.

3. Setelah sebati, angat dan ketepikan sebentar.

4. Panaskan santan dalam periuk dengan api kecil hingga menggelegak.

5. Masukkan ayam yang sudah digaul bersama cili api, kunyit dan serai ke dalam santan.

6. Tambahkan sedikit air ikut kesesuaian dan teruskan kacau supaya santan tidak pecah.

7. Masukkan asam keping, garam secukup rasa dan daun kunyit hiris. Gaul sehingga masak.

Info:

Cara simpan ayam dalam peti sejuk;

  • Siapkan plastik atau bekas untuk menyimpan.
  • Siapkan jumlah bekas mengikut hari kita memasak.
  • Cuci semua ayam dari kotoran darah dan najis.
  • Tapis air dari bilasan cucian.
  • Bahagi bahan mengikut hari kita memasak dan masuk ke dalam bekas.
  • Masuk ke dalam peti sejuk.
Berita Harian X