Sabtu, 4 Februari 2017 | 9:30am

Muzium seni NY bantah larangan kemasukan pendatang


MUZIUM seni terkenal New York menggantikan pameran seni Barat dengan hasil artis dari Iran, Iraq dan Sudan sebagai membantah larangan kemasukan rakyat dan pendatang dari tujuh negara majoriti Islam ke Amerika Syarikat. - Foto New York Times

NEW YORK: Muzium seni terkenal New York menggantikan pameran seni Barat dengan hasil artis dari Iran, Iraq dan Sudan sebagai membantah larangan kemasukan rakyat dan pendatang dari tujuh negara majoriti Islam ke Amerika Syarikat yang dikuat kuasakan Presiden Donald Trump.

Muzium Seni Moden berkata, hasil kerja pelukis Sudan, Ibrahim al-Salahi, arkitek kelahiran Iran, Zaha Hadid dan lima artis berketurunan Iran menggantikan tujuh hasil seni Barat, termasuk Picasso dan Matisse.

Arahan eksekutif itu berkuat kuasa Jumaat minggu lalu, menutup sempadan Amerika Syarikat kepada pendatang selama 120 hari dan pemegang visa dari Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman selama 90 hari.

Muzium berkenaan menukar hasil kerja itu lewat Khamis lalu di galeri tingkat lima, yang biasanya dikhaskan untuk seni Barat sebelum 1945.

Perubahan itu dilaporkan akhbar The New York Times dan disahkan muzium berkenaan.

Lima artis berketurunan Iran termasuk Marcos Grigorian; artis video beribu pejabat di Los Angeles, Tala Madani; jurugambar Shirana Shahbazi, pengukir Parviz Tanavoli dan pelukis Charles Hossein Zenderoudi.

Muzium berkenaan turut meletakkan ukiran besar aluminium dan besi yang dihasilkan artis Amerika kelahiran Iran, Siah Armajani, di lobi.

Ia turut mengadakan tayangan filem rakyat negara yang menjadi sasaran larangan termasuk pengarah Jerman kelahiran Iraq, Kais al-Zubaidi dan pengarah filem Syria yang kini menetap di Perancis, Oussama Mohammad. - AFP

Berita Harian X