Sabtu, 20 Disember 2014 | 7:06pm

Kerajaan kaji keadaan semasa tentukan tarif elektrik selepas Jun 2015

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahzdir Khalid
Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahzdir Khalid

SUNGAI PETANI: Kerajaan akan mengkaji kedudukan semasa dalam menentukan tarif elektrik bagi tempoh mulai Julai tahun depan selepas memutuskan tarif yang ada sekarang kekal sehingga Jun tahun depan. Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahzdir Khalid, berkata kerajaan akan mengadakan perbincangan mengenai perkara itu kemudian.

Katanya, kenaikan tidak berlaku sehingga Jun tahun depan berikutan kos yang sepatutnya dikenakan kepada pengguna telah ditanggung pihak lain yang membuat pembayaran kepada kerajaan.

"Mulai 1 Januari hingga 30 Jun 2015, tidak ada sebarang kenaikan tarif elektrik sebab kos yang sepatutnya dilepaskan kepada pengguna ditanggung pihak lain," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penutup Kem Transformasi dan Mandi Minyak 2014 di Merdeka Beach Resort, Pantai Merdeka dekat sini, hari ini.

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air sebelum ini mengumumkan kerajaan memutuskan untuk mengekalkan kadar tarif elektrik sehingga Jun 2015.

Mahdzir berkata, sehingga Jun 2015, kerajaan memutuskan bahawa sebahagian daripada wang Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) oleh Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) dengan kerajaan, akan diambil untuk kos penjanaan elektrik.

"Selepas tempoh itu, kerajaan akan kaji semula, lihat kedudukan sebenar dan situasi dari semasa ke semasa. Setakat ini belum ada apa-apa perbincangan awal," katanya.

Kira-kira 80 peserta terdiri daripada belia, pelajar sekolah menengah dan rendah, menyertai Kem Transformasi dan Mandi Minyak 2014 yang diadakan selama dua hari, bermula Khamis lalu.

Program itu adalah anjuran Pertubuhan Silat Seni Gayung Malaysia (PSSGM) daerah Padang Terap dengan kerjasama Gerakan Belia4B kawasan Padang Terap.

Mengulas mengenai program itu, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata program berbentuk kem motivasi seperti itu wajar disokong agar golongan muda dan belia berpeluang melakukan aktiviti bermanfaat. "Golongan belia boleh memainkan peranan untuk melakukan transformasi dalam masyarakat. Apabila ada kesedaran dalam kalangan orang muda (untuk melakukan transformasi), mereka boleh memainkan peranan untuk menggerakkan komuniti setempat untuk 'bangkit' bersama mereka. "Sebaliknya, kalau seluruh sistem orang muda ini bermasalah, banyak perkara yang tidak dapat dilakukan. Apa yang kita mahu ialah gerakan orang muda itu sendiri untuk bergerak di kampung mereka," katanya.

- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X