Sabtu, 4 Februari 2017 | 2:48pm

SPR sasar peratusan mengundi meningkat

PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah pada sidang media pengumuman tarikh penamaan calon dan pengundian sempena Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN11) di Hotel Merdeka Palace, Kuching. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

LUNDU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mensasarkan peratusan keluar mengundi yang lebih tinggi, iaitu 75 peratus pada pilihan raya kecil (PRK) Tanjong Datu pada 18 Februari ini, kata Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.

"Pada pilihan raya negeri pada Mei tahun lalu, kerusi Tanjung Datu mencatatkan peratusan mengundi sebanyak 70.10 peratus dan kita mengharapkan peratusannya meningkat kepada 75 peratus pada PRK kali ini.

Sekiranya kita dapat mencapai angka itu, ia sudah dikira cukup baik," katanya pada sidang media selepas pengumuman calon untuk PRK Tanjong Datu di sini, hari ini.

Beliau menggesa pengundi berdaftar di kawasan Dewan Undangan Negeri itu supaya keluar beramai-ramai untuk menunaikan hak masing-masing sebagai pengundi.

Mohd Hashim juga mengingatkan semua parti dan calon yang bertanding supaya mematuhi peraturan pilihan raya yang telah ditetapkan bagi memastikan suasana pilihan raya yang aman.

Katanya, tempoh rasmi berkempen bermula hari ini selepas selesai proses penamaan calon sehingga 12 tengah malam 17 Februari ini dan mana-mana calon yang berbuat demikian selepas tempoh berkenaan pihak SPR dan polis berhak untuk mengarahkan ia dihentikan.

Beliau berkata SPR telah menubuhkan sebuah pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya bagi memantau aktiviti berkempen sepanjang tempoh rasmi berkempen selaras dengan peruntukan Seksyen 27 (B) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Parti dan calon yang bertanding akan hanya dibenarkan untuk mempamerkan simbol parti yang bertanding sahaja, gambar calon, gambar pemimpin parti dan bendera parti, manakala kain rentang dan poster seharusnya tidak mengandungi perkataan yang boleh menjuruskan kepada kebencian dan berunsur fitnah," katanya.

Katanya, mana-mana kain rentang dan poster yang mengandungi perkataan berunsur fitnah dan menimbulkan kebencian atau mengembangkan perasaan jahat akan diturunkan oleh pasukan penguat kuasa SPR.

Mohd Hashim berkata, semua ceramah perlu mendapat permit pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan polis boleh menghentikan mana-mana ceramah yang tidak mendapat kebenaran itu.

Beliau juga mengumumkan tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah mengemukakan permohonan akan diterima sebagai pemerhati tempatan sepanjang tempoh PRK Tanjong Datu, iaitu enam anggota Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak, Persatuan Kebangsaan Orang Ulu (OUNA) lima orang dan Pertubuhan Kumpulan Sukarelawan Inovatif (Sukareno) seramai empat orang.

"Tiga badan ini juga dilantik sebagai pemerhati tempatan pada pilihan raya negeri Mei tahun lalu dan mereka telah menjalankan tanggungjawabnya dengan memuaskan," kata Mohd Hashim.

PRK Tanjong Datu diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Adenan Satem, yang juga Ketua Menteri Sarawak kelima pada 11 Januari lalu akibat komplikasi jantung.

Pada PRK kali ini, calon Barisan Nasional (BN), balu Adenan, iaitu Datuk Amar Jamilah Anu akan dicabar calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) baru, Rapelson Richard Hamit dan calon Parti Reformasi Sarawak (STAR) Johnny Aput. - BERNAMA

Berita Harian X