Sabtu, 4 Februari 2017 | 2:55pm

Hubungan alumni, fakulti perlu akrab

AJK Persatuan Alumni FKPM yang baharu dilantik hari ini. - Foto ALUMNI FKPM
AJK Persatuan Alumni FKPM yang baharu dilantik hari ini. - Foto ALUMNI FKPM

SHAH ALAM: Hubungan rapat antara alumni dan fakulti perlu diperkasa bagi membuka ruang kerjasama yang lebih baik untuk kepentingan bersama universiti serta industri.

Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Azizul Halim Yahya, berkata ia penting kerana pengetahuan dan cara bekerja di industri amat signifikan untuk dipraktikkan di universiti.

Jika dilihat mana-mana universiti tersohor dunia seperti Universiti Harvard dan Cambridge, katanya, alumni yang kuat akan menjadikan universiti lebih hebat.

"Bayangkan kalau alumni fakulti kita kuat, yang untung adalah graduan kita kerana mendapat tunjuk ajar peneraju dalam industri masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Alumni FKPM kali kedua di Tingkat 13, Menara Menara Sultan Abdul Aziz Shah, UiTM, di sini, hari ini.

Pada mesyuarat itu, Pengarang Urusan Kumpulan (GME) The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Abdul Jalil Hamid dipilih sebagai Pengerusi Persatuan Alumni FKPM manakala Basree Rakijan sebagai Timbalan Pengerusi.

Hadir sama, Presiden Persatuan Alumni UiTM, Datuk Zaini Hassan.

Azizul Halim berkata, alumni dan bekas pelajar UiTM wajar mengenang jasa tempat yang pernah mendidik hingga menjadi pemimpin hebat dengan mencurah semula bakti.

Mengenai pemilihan Ahli Jawatankuasa baharu, beliau berpuas hati kerana pemilihan berlaku dalam keadaan harmoni dan semangat setiakawan.

"Saya anggap pemilihan Jalil sebagai pengerusi adalah tepat kerana beliau adalah peneraju utama syarikat di Media Prima Berhad yang mengendalikan rangkaian terbesar media di Malaysia.

"Saya harap jaringan dan ilmu yang dimiliki beliau dapat sumbangkan semula kepada pelajar dan pensyarah di fakulti," katanya.

Mengulas pemilihan sebagai pengerusi baharu persatuan, Abdul Jalil mengucapkan terima kasih atas mandat diberikan dan akan berusaha menggerakkan alumni dengan lebih aktif untuk manfaat bersama.

Beliau juga sedia memberi nasihat kepada fakulti mengenai persediaan media dalam menghadapi perkembangan digital.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X