Sabtu, 4 Februari 2017 | 5:35pm

Tiada suntikan antibiotik pada ternakan ayam di Perak


PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon merasmikan restoran makanan segera Harumi di Jalan Batu Karang, Taman Bandar Baru Kampar, Kampar, hari ini. - Foto Balqis Jazimah Zahari

KAMPAR: Amalan penggunaan prosedur suntikan antibiotik bagi ternakan ayam tidak lagi digunakan kalangan penternak di negeri Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata kerajaan negeri melalui pihak berkuasa mengawal ketat dalam memastikan pengusaha mematuhi standard dan tidak menggunakan suntikan antibiotik.

"Kerajaan negeri begitu serius dan tidak akan berkompromi terhadap perkara membabitkan aspek keselamatan makanan, khususnya amalan suntikan antibiotik terhadap ternakan ayam.

"Sehingga kini, kita mendapati tiada lagi amalan dan budaya penyuntikan prosedur antibiotik dilakukan oleh pengusaha ayam di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan restoran makanan segera Harumi di Jalan Batu Karang, Taman Bandar Baru Kampar di sini hari ini.

Dr Mah berkata, penghapusan budaya itu sekali gus mengurangkan potensi terhadap berlakunya keracunan membabitkan haiwan itu.

Katanya, kerajaan negeri turut menggalakkan kesemua perusahaan ladang yang dilakukan di seluruh negeri dilaksanakan secara tertutup bagi memastikan aspek keselamatan dan kebersihan yang lebih terjamin.

Berita Harian X