Sabtu, 4 Februari 2017 | 11:52pm

Jaringan tunggal Samassa bantu T-Team benam PP

PEMAIN T-Team, Mamadou Samassa beraksi dalam perlawanan menentang Pulau Pinang pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail NasiruddinShah (SSINS), malam ini. - Foto Rozainah Zakaria

KUALA TERENGGANU: Jaringan tunggal, Mamadou Samassa sudah memadai buat T-Team mengutip mata penuh mengatasi Pulau Pinang dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), malam ini.

Berpunca hantaran lambung Farhod Tadjiev melepasi pemain pertahanan pelawat berjaya ditanduk Samassa menewaskan penjaga gawang gantian, Sani Anuar Kamsani pada minit ke-70.

Gol yang disumbangkan oleh bekas penyerang Olympique de Marseille itu kekal hingga tamat permainan sekali gus kekalahan ketiga berturut-turut dialami skuad Harimau Kumbang.

Terdahulu pada minit ke-11, tuan rumah terlepas peluang di depan gawang pelawat berpunca hantaran silang Mohd Zarulizwan Mazlan, namun gagal disambar Samassa.

Pelawat yang meletakkan pemenang Anugerah Puskas Persatuan Bola Sepak Dunia (FIFA) 2016, Mohd Faiz Subri di bangku simpanan membalas serangan dengan melepaskan rembatan menerusi Mohamed Syamer Kutty Abba dua minit selepas itu.

Pintu gawang skuad The Titans cemas apabila sepakan percuma Muhammad Jafri Mohd Firdaus terkena tiang selepas ditepis Muhammad Izzuddin Hussin pada minit ke-34.

Dua minit berselang, pelawat terus memberi tekanan kubu pertahanan tuan rumah, namun dinafikan ketangkasan Muhammad Izzuddin.

Pengendali T-Team, Rahmad Darmawan terpaksa mengeluarkan benteng pertahanan, Abdoulaye Youssouf Maiga akibat cedera digantikan Abdullah Sulaiman minit 37.

Bersambung babak kedua, skuad Harimau Kumbang membuat pertukaran penjaga gawangnya dengan membawa masuk Sani Anuar bagi menggantikan Syed Adney Syed Hussein yang mengalami kecederaan.

Tindakan Muhammad Izzuddin keluar daripada posisinya hampir menghadiahkan sepakan penalti pihak lawan apabila menjatuhkan pemain gantian, Muhammad Faizat Mohd Ghazli yang dihadiahkan sepakan percuma minit 66.

Pada masa kecederaan, Tadjiev mempersiakan peluang keemasan menambah jaringan sekalipun hanya berdepan dengan Sani Anuar yang menepis keluar percubaan penyerang kelahiran Uzbekistan itu.

Berita Harian X