Ahad, 5 Februari 2017 | 4:40pm
EMMA teringin menjayakan watak antagonis.

Emma Maembong teringin jadi jahat

Emma Maembong.

KUALA LUMPUR: Sering ditawarkan watak baik, pelakon Emma Maembong teringin menjayakan karakter antagonis untuk keluar daripada zon selesa.

Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail, 24, berkata, beliau mendambakan kelainan selepas kerap diajukan peranan sama sejak kemunculan dalam arena lakonan, lima tahun lalu.

"Sudah lama saya teringin melakonkan watak hitam bagi menonjolkan sisi berbeza saya. Sekali gus peluang sedemikian mampu mencabar diri untuk memperbaiki mutu lakonan.

"Bukan merungut, namun kadang-kala saya berharap diberikan peluang untuk membuktikan kebolehan mencuba pelbagai karakter. Saya tidak mahu dikenali sebagai gadis teraniaya saja atau hanya bermain air mata.

"Mungkin ada pihak yang musykil kerana saya sering mengeluarkan kenyataan teringin melakonkan watak jahat. Variasi adalah kepuasan buat pelakon seperti saya," katanya kepada BH Online.

Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya, Emma berdebar menanti reaksi peminat dengan kemunculan sulungnya di layar perak menerusi filem Kimchi Untuk Awak yang bakal berada di pawagam, bermula 30 Mac depan.

"Kali pertama saya menyahut cabaran berlakon filem, semestinya saya tidak sabar dan berharap pertaruhan pertama muncul di pawagam dapat diterima baik semua," katanya.

Filem arahan Michael Ang itu menggandingkan Emma dan Aiman Hakim Ridza sebagai teraju utama.

Berita Harian X