Ahad, 5 Februari 2017 | 5:30pm

Beri peluang TMJ pimpin FAM: Khalid

BEKAS pemain bola sepak negara era-80an, Khalid Ali. - Foto Osman

MELAKA: Bekas pemain bola sepak Olimpik Malaysia 1980, Khalid Ali mencadangkan supaya pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim diberi peluang memimpin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Walaupun tiga lagi individu yang dicalonkan berwibawa, namun peluang harus diberikan kepada Tunku Ismail berdasarkan rekod cemerlangnya memimpin JDT yang mencipta banyak kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," katanya mengulas mengenai pencalonan Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu bagi jawatan Presiden FAM.

Selain Tunku Ismail, turut dicalonkan bertanding kerusi nombor satu FAM itu adalah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa dan Tan Sri Aseh Che Mat.

Pemilihan jawatan presiden FAM dijadual diadakan pada kongres badan induk bola sepak negara itu pada 25 Mac ini.

Ketika ditemui pada majlis perkahwinan anak perempuan Timbalan Presiden Persatuan Bola Melaka United (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi di sini, sebentar tadi, Khalid turut menyarankan tiga calon berkenaan bekerjasama dengan Tunku Ismail membangunkan bola sepak negara andai pemilik JDT itu terpilih sebagai Presiden FAM.

Berita Harian X