Ahad, 5 Februari 2017 | 10:17pm

Pameran fotografi Unveiling the Unseen bermula Rabu ini


SULTAN Ismail Nasiruddin Shah.

KUALA LUMPUR: Muzium Kesenian Islam Malaysia (IAMM) bakal menganjurkan pameran fotografi Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah `Unveiling the Unseen (1937-1971) bermula Rabu ini hingga 31 Mac depan.

Menurut kenyataan IAMM, Almarhum Sultan Ismail yang dilahirkan di Kuala Terengganu pada 24 Januari 1907 ditabalkan sebagai Sultan Terengganu pada 1945 dan kemudiannya dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong keempat pada 1965 ketika zaman pentadbiran Tunku Abdul Rahman.

Tidak ramai mengetahui bahawa baginda juga adalah seorang jurugambar perintis ulung ketika era moden apabila menceburi bidang fotografi sejak berusia 16 tahun pada 1923.

Almarhum Sultan Ismail diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai jurugambar. Pada 1958, baginda menubuhkan `Associate of the Royal Photographic Society' (UK) dan baginda menerima anugerah berprestij `Excellence Federation International de l'art Photographique' (EFIAP) pada 1966.

Pada 2005, Webster's Timeline History of Photographers 1800-1989 menyertakan nama Almarhum Sultan Ismail ke dalam senarai jurugambar berpengaruh dan muncul pada halaman sama dengan jurugambar hebat, Edward Weston dan William Eggleston.

Buat kali pertama, pameran fotografi ini mempamerkan negatif filem diambil daripada arkib Almarhum Sultan Ismail yang diwarisi cucunya, Raja Ihsan Shah. Ia adalah imej yang tidak pernah dipertontonkan walaupun kepada ahli keluarga terdekat.

Raja Ihsan juga adalah pengarang biografi datuknya bertajuk `Pioneering Malaysian Photography 1923-1971'. Buat julung kalinya, pameran ini akan menyerlahkan seluruh himpunan Almarhum Sultan Ismail, dari cetakan `handcolored' 1948, sebelum kemudiannya beralih kepada monokrom dan gambar berwarna, yang diambil ketika lawatan rasmi Almarhum Sultan Ismail sebagai Yang di-Pertuan Agong ke seluruh negara.

Pameran ini adalah hasil daripada dedikasi dan penyelidikan selama bertahun-tahun. Raja Ihsan menyifatkan pameran ini adalah satu kewajipan untuknya menyerlahkan warisan datuknya kepada rakyat Malaysia.

56 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »