Isnin, 6 Februari 2017 | 11:45am

Jangan ambil mudah salah laku anak bangsa - Sultan Nazrin


SULTAN Nazrin diiringi Zambry (kiri) ketika hadir pada majlis Perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Casuarin[email protected], Ipoh, hari ini. - Foto Abdullah Yusof

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan orang Melayu supaya tidak mengambil ringan perbuatan salah laku yang dilakukan sebahagian kecil bangsa Melayu.

Titah baginda, ia kerana perbuatan salah laku anak bangsa laksana anai-anai yang boleh meruntuhkan.

"Hari ini orang Melayu yang baru mula menikmati sebahagian kecil daripada kejayaan, berbanding dengan kejayaan lebih besar yang dicapai oleh orang lain, semakin menunjukkan sifat lupa daratan, bagaikan mengulangi budaya kehidupan seperti yang pernah berlaku pada era pra penaklukan Melaka oleh Portugis.

"Mereka menunjukkan sifat yang semakin hanyut dalam perlumbaan kebendaan dan semakin mabuk dilambung gelombang persaingan kuasa dan orang Melayu sedang berada dalam perlumbaan menconteng arang sesama sendiri, masing-masing ghairah menepuk air di dulang dan semakin terpercik ke muka sendiri, " titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertemakan 'Mengakar Kuat Umat Melayu Menjulang Tinggi Islam' di sini hari ini.

Yang turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah serta Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim. 

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Sultan Nazrin bertitah, dasar murni yang digubal untuk membantu Melayu, tidak tercapai sepenuhnya kerana terbukti berlaku ketirisan secara besar-besaran.

Titah baginda, dibimbangi kekayaan yang baru berada dalam pegangan Melayu mungkin berakhir dalam tempoh masa yang singkat selagi orang Melayu lebih tertarik dengan budaya berbelanja mewah untuk mencerminkan imej sosial daripada menabung dan melabur untuk membina aset bangsa yang lebih besar bagi jangka masa panjang.

"Hari ini maruah bangsa semakin diaibkan dengan perbuatan rasuah, pecah amanah, penipuan dan salah guna kuasa. Sewajarnya bangsa berwaspada dengan titik-titik nila yang akan memusnahkan susu sebelanga," titah baginda.

Berita Harian X