Isnin, 6 Februari 2017 | 2:48pm

Datuk, pegawai GLC didakwa buat tuntutan palsu


CHUNG Fui dibawa ke Mahkamah Sesyen Labuan atas tuduhan membuat tuntutan palsu dan bersubahat membabitkan wang berjumlah RM789,360. - Foto Ihsan SPRM

LABUAN: Seorang pengarah syarikat pembekal peralatan cari gali berpangkat Datuk bersama Pegawai Penyelaras sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, atas tuduhan membuat tuntutan palsu dan bersubahat membabitkan RM789,360.

Tertuduh, Datuk Kok Chung Fui, 43, menghadapi 28 tuduhan manakala Pegawai Penyelaras syarikat GLC, William Edmund Silla, 43, dituduh dengan 28 tuduhan tuntutan palsu kepada Petronas Carigali Sdn Bhd berkaitan pembekalan peralatan berjumlah keseluruhan RM789,360 sedangkan ia tidak dibekalkan.

Kedua-dua tertuduh tidak mengaku bersalah selepas tuduhan dibacakan di depan Hakim Abu Bakar Manat dan memohon untuk dibicarakan.

Mengikut tuduhan satu hingga 28, Chung Fui sebagai Pengarah CK Oil & Gas Sdn Bhd mengemukakan tuntutan palsu kepada Petronas Carigali berkaitan pembekalan peralatan berjumlah keseluruhan RM789,360 sedangkan ia tidak dibekalkan.

William pula didakwa bersubahat atas perbuatan itu dengan menandatangani dokumen berkaitan.


WILLIAM dibawa ke Mahkamah Sesyen Labuan atas tuduhan membuat tuntutan palsu dan bersubahat membabitkan wang berjumlah RM789,360. - Foto Ihsan SPRM

Mereka melakukan kesalahan itu di Pejabat Scomi Oiltools Sdn Bhd, Labuan Integrated Base, di sini, pada 18 September 2013.

Chung Fui didakwa mengikut Seksyen 18, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, manakala Villa, 43, didakwa mengikut seksyen sama dan dibaca bersama perenggan 28(1)(b) akta sama, jika sabit kesalahan mereka boleh dipenjara masimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Abu Bakar membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan dua penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah, selain dikehendaki melaporkan diri di Pejabat SPRM Labuan pada awal minggu pada setiap bulan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rozanna Abdul Hadi serta Rustam Sanip dan mahkamah menetapkan 10 April ini bagi sebutan semula kes.

Berita Harian X