Isnin, 6 Februari 2017 | 5:44pm

Program pendidikan DEB ubah nasib Melayu


SULTAN Perak Sultan Nazrin Shah ketika bertitah merasmikan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini.- Foto BERNAMA

IPOH: Pendidikan adalah program di bawah Dasar Ekonomi Baru, yang paling berjaya mengubah nasib orang Melayu sejak diperkenalkan pada 1971, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah, program itu menyaksikan ramai yang memasuki Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan menyumbang kepada kejayaan dalam pelbagai bidang pekerjaan.

"Gadis Melayu yang menjangkau usia 15 tahun tidak lagi terkurung di ruang dapur menantikan tepak sirih pinangan, tetapi menyambung pelajaran untuk menguasai pelbagai kemahiran, melangkah tapak demi tapak dalam pelbagai bidang kerja," titah baginda.

Baginda bertitah, pengenalan DEB melalui program pendidikan ibarat suntikan sakti yang mengubah rupa bentuk dan keyakinan diri orang Melayu secara lebih radikal.

"DEB tidak sekadar memberi ruang lebih besar kepada penyertaan Melayu dalam arus pembangunan perdana tetapi turut mendewasakan anak Melayu terutama dari desa dengan akar bangsa kuat dan tunjang agama yang kukuh.

"Produk DEB tidak hanya dinikmati oleh individu dan keluarga tetapi memberi satu rasa keyakinan dan kemegahan baharu kepada orang Melayu.

"Anak Melayu membanjiri kelas menengah Melayu, berjawatan tinggi, terutama dalam sektor awam serta memiliki pengaruh dan melakukan transformasi budaya, termasuk di tempat kerja atau tempat tinggal," titah baginda ketika merasmikan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di sini, hari ini.

Sultan Nazrin, yang juga Duta Kewangan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa (MIFC) bertitah, Malaysia sentiasa dijadikan sebutan sebagai negara Islam yang moden, maju, aman, makmur dan sederhana.

"Kepemimpinan Islam di Malaysia di pandang tinggi. Kebijaksanaan pemimpin Melayu melaksanakan program pembangunan ummah dan pembangunan negara mendapat pengiktirafan di serata dunia," titah baginda.

Baginda bertitah, kepemimpinan Malaysia dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC); FELDA, Tabung Haji dan Pusat Pendidikan Antarabangsa bagi Kewangan Islam (INCEIF) adalah antara bukti dan sumbangan bakti tokoh ulung Melayu.

"Sebahagian mereka mungkin tidak berimej ulama. Namun, mereka berperanan besar membantu menampung lompang-lompang kekosongan yang perlu dipenuhi untuk memperlengkapkan Islam dalam menghadapi tuntutan dunia semasa," titah Sultan Nazrin. - BERNAMA

Berita Harian X