Isnin, 6 Februari 2017 | 10:35pm

Saudi Aramco mungkin disenaraikan di Singapura

SINGAPURA: Bursa Saham Singapura (SGX) mengadakan rundingan dengan Saudi Aramco bagi kemungkinan ia disenaraikan di bursa saham itu, demikian menurut sumber, selepas syarikat minyak dan gas itu minggu lalu mencadangkan ia berkemungkinan menyenaraikan dengan serentak di lebih dari satu bursa saham secara berasingan.

Cadangan penyenaraian sehingga lima peratus saham Aramco pada tahun depan itu bakal muncul tawaran awam permulaan (IPO) terbesar di dunia.

Menteri Tenaga Arab Saudi Khalid al-Falih minggu lalu berkata, syarikat itu menilai penyenaraian secara serentak di lebih dari satu bursa saham.

Sumber memberitahu Reuters bahawa rundingan dengan SGX itu masih lagi di peringkat awal berikutan Saudi Aramco mengkaji semula beberapa pasaran termasuk New York, London, Hong Kong dan Jepun.

"Transaksi ini sangat terbuka. Pokoknya masih ada masa bagi kajian daya maju dibuat dan SGX berminat menggunakan tarikan antarabangsanya dalam sektor ini," kata satu sumber lain.

Aramco, yang dijangka disenaraikan pada 2018, dijangka akan menarik minat dana kekayaan kedaulatan Singapura, GIC Pte Ltd, kata sumber kepada Reuters, tetapi keputusan berhubung saiz kepentingan itu bergantung kepada perincian dan penilaian kewangan Aramco.

Saudi Aramco dan GIC enggan mengulas, sementara SGX dalam satu kenyataan berkata ia adalah bursa saham paling antarabangsa dan menawarkan akses unik ke pasaran Asia Tenggara. - Reuters

Berita Harian X