Selasa, 7 Februari 2017 | 12:02am

Selva Kumar dijangka tiba pagi esok

gn4id:18825897

SEPANG: Bekas perogol bersiri rakyat Malaysia, S Selva Kumar, yang selesai menjalani hukuman penjara 24 tahun di Toronto, Kanada selepas didapati bersalah atas 30 pertuduhan jenayah terhadap wanita, dijangka tiba di tanah air pagi esok.

Difahamkan, dia akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada jam 7.45 pagi menaiki pesawat dari Doha.

Kira-kira 50 petugas media yang mendapat maklumat bekas banduan itu akan tiba malam ini berkumpul di KLIA sejak tengah hari tadi.

Selva Kumar, 56, yang berasal dari Pulau Pinang, dipenjarakan selepas didakwa melakukan serangan seksual ke atas hampir 1,000 wanita dan kanak-kanak perempuan.

Akhbar The Hamilton Star sebelum ini melaporkan, Selva Kumar yang dibebaskan pada 29 Januari lalu, ditahan Agensi Perkhidmatan Sempadan Kanada (CBSA) dan perbicaraan khas Majlis Imigresen dan Pelarian Kanada pada Isnin lalu mengarahkan dia ditahan sehingga dihantar pulang ke Malaysia.

Selva Kumar disabitkan pada 1992 dalam dua perbicaraan berasingan kerana memberi dadah dan melakukan serangan seksual terhadap 30 wanita.

Berita Harian X