Selasa, 7 Februari 2017 | 1:56pm

Bekas orang kanan Che Rozmey didakwa pecah amanah

ALOR SETAR: Bekas penasihat peribadi dan kewangan syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini, atas tiga tuduhan pecah amanah membabitkan RM246,600, sejak tiga tahun lalu.

Tertuduh, Abdullah Sani Ismail, 62, mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan itu selepas tuduhan dibacakan di depan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Abdullah Sani dituduh pecah amanah dengan mengambil sewaan bangunan di alamat No 22, Jalan Bayu Mutiara 1, Taman Bayu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang milik Che Rozmey Che Din sebanyak RM97,000, antara 5 September hingga 5 Disember 2014.

Bagi tuduhan kedua, tertuduh menghadapi tuduhan pecah amanah dengan mengambil sewaan bangunan di alamat No 22, Jalan Bayu Mutiara 1, Taman Bayu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang milik Che Rozmey Che Din sebanyak RM88,000, antara 20 Mac 2015 hingga 28 Disember 2015.

Tuduhan ketiga pula, dia dituduh pecah amanah dengan mengambil sewaan bangunan di alamat NO 22, Jalan Bayu Mutiara 1, Taman Bayu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang milik Che Rozmey Che Din sebanyak RM88,000, antara 19 Januari 2016 hingga 8 Julai 2016.

Semua kesalahan dilakukan di Syarikat Herba Prima Marketing, Lot 70, Bandar Darul Aman Jaya, Jitra, dekat sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ana Rozana Mohd Nor manakala tertuduh diwakili peguam, Badrul Hisham.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin, masing-masing RM10,000 bagi tuduhan pertama, kedua dan ketiga dengan seorang penjamin serta dokumen perjalanan diserahkan selain menetapkan 8 Mac depan bagi sebutan semula kes.

Berita Harian X