Selasa, 7 Februari 2017 | 4:52pm

Semua cawangan Chatime Malaysia halal


PENGERUSI La Kaffa International, Henry Wang menjawab soalan media di sidang akhbar La Kaffa International syarikat induk Chatime mengumumkan rancangan perniagaan di Malaysia dan rantau Asia Tengara pada tahun 2017 turut bersama Timbalan Presiden La Kaffa International, Hank Wang (kiri) dan Eksekutif Timbalan Presiden La Kaffa International, Teresa Wang (kanan). - Foto Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Bekas francaisi induk Chatime bagi Malaysia, Loob Holding Sdn Bhd, menegaskan semua 165 cawangan Chatime di negara ini hanya menggunakan ramuan yang mendapat pensijilan halal sah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bryan Loo, berkata beliau difahamkan terdapat pihak tertentu cuba menimbulkan fitnah berhubung aspek halal perniagaan itu.

"Kami boleh menyatakan bahawa semua ramuan yang digunakan di semua cawangan kami mendapat pensijilan halal sama ada secara langsung daripada Jakim atau menerusi badan dan pihak berkuasa pensijilan halal yang diiktiraf JAKIM," katanya dalam satu kenyataan.

"Anda boleh lihat cawangan kami di stesen minyak Petronas, Shell dan Caltex dan kami sudah hadir di sana sejak beberapa tahun lalu.

"Pastinya, sebagai sebuah syarikat yang dibangunkan di negara ini, kami faham akan masyarakat yang pelbagai kaum dan sensitiviti, berikutan kami mencipta produk yang memenuhi selera warga Malaysia.

"Maju ke depan, sungguhpun dengan jenama kami sendiri, kami akan meneruskan dasar dalam memastikan hanya produk selamat dan berkualiti tinggi untuk semua pengguna, khususnya ramuan yang mendapat pensijilan halal," katanya.

Berhubung penamatan perjanjian francais dengan francaisor Chatime, Loo berkata:

"Seperti biasa, kami terus mengekalkan hak perundangan untuk mengambil semua tindakan, dan untuk menerokai semua cara, bagi melindungi hak kami dalam hal ini. Ini termasuk mendapatkan tebus rugi di bawah terma perjanjian francais kami."

Berita Harian X