Selasa, 7 Februari 2017 | 6:34pm

Putera Adam cipta sejarah WSK Super Master

PUTERA Adam peraga trofi kejuaraan sejurus tiba di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur sebentar tadi.
PUTERA Adam peraga trofi kejuaraan sejurus tiba di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur sebentar tadi.

SEPANG: Pelumba Gamoto ASD, Putera Adam Halim mencipta sejarah apabila muncul pelumba Malaysia pertama menaiki podium sebanyak dua kali pada saingan WSK Super Master Series, dalam tempoh dua tahun berturut-turut.

Selepas melakukannya pada saingan sama musim lalu di Litar Antarabangsa 7 Laghi dengan meraih kedudukan ketiga, kali ini pelumba berusia 10 tahun itu menaiki podium hasil kejayaan pada pusingan pertama WSK Super Master Series di Litar Adria, Venice, Itali, Ahad lalu.

Pelumba kelahiran Subang Jaya itu kini dilihat antara pencabar utama kejuaraan dalam saingan musim ini.

"Ketika berada di sana, hujan lebat selama tiga hari. Tetapi ketika perlumbaan sebenar, saya berjaya dapat rentak untuk memastikan tempat ketiga.

"Saya berterima kasih kepada semua pihak yang menyokong saya. Selepas ini, saya sasarkan untuk berada dalam kelompok tiga terbaik," katanya ketika ditemui sejurus tiba dari Itali di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini, sebentar tadi.

Selepas ini, pelumba yang bernaung di bawah MVP Sports Agency itu akan meneruskan baki tiga lagi perlumbaan di Litar Antarabangsa 7 Laghi pada 2 hingga 5 Mac ini, diikuti Litar Antarabangsa La Conca (16 hingga 19 Mac) dan Litar Antarabangsa Napoli Sarno (6 hingga 9 April).

Bagi meneruskan bakat hebat dimilikinya, selepas ini Putera Adam bakal menyertai X30 Asia Challenge 2017 yang dijadualkan berlangsung di Litar go kart Sepang pada 18 Februari ini.

Dalam pada itu, Pengarah Bakat Sukan MVP Sports Agency, Hafizan Halim berkata bakat semula jadi Putera Adam menjadi 'wajah' buat sukan permotoran negara.

"Pencapaian pada usia muda sudah memadai untuk mencerminkan kemampuan Putera Adam dan harapan kami untuk peminat di Malaysia adalah terus beri sokongan kepadanya," katanya.

Berita Harian X