Selasa, 7 Februari 2017 | 10:06pm

Tidak hilang deposit dah cukup baik

CALON PBDSB, DUN 03 Tanjong Datu, Rapelson Richard Hamit. - Foto Nadim Bokhari

KUCHING:  Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak Baharu (PBDSB), Cobbold John Lusoi, mengakui calon mereka Rapelson Richard Hamit, sukar untuk menyaingi Barisan Nasional (BN) di Tanjong Datu.

Bagi Cobbold, BN terlalu kuat di kawasan itu yang kosong selepas kematian pemimpin yang dikagumi seluruh rakyat Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

"Kalau kami dapat semula deposit pun sudah dikira cukup baik kerana yang penting kami mencuba," katanya ketika pelancaran manifesto parti itu di sini hari ini.

Tujuh perkara ditawarkan parti itu dalam manifesto mereka iaitu menuntut kerajaan mengembalikan tanah NCR, hormati Artikel 153 Perlembagaan Malaysia, mengkaji semula Perjanjian Malaysia 1963, menuntut jawatan Ketua Menteri untuk Dayak, kesinambungan peluang pekerjaan dalam sektor awam, hak sama rata dalam pendidikan untuk masyarakat Dayak dan menghapuskan kemiskinan.

Cobbold berkata, penyertaan mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu hanyalah untuk menyampaikan mesej kepada kerajaan khususnya berkaitan isu tanah hak adat Bumiputera (NCR).

"Itu yang paling utama...kami mahu menjadikan PRK ini sebagai platform untuk menyampaikan mesej rakyat pribumi berhubung hak mereka yang kian terhakis," katanya.

Sementara itu, Rapelson, pula mengakui beliau mengharapkan keajaiban untuk melihat kejutan berlaku pada PRK Tanjong Datu.

Rapelson, 31, berkata beliau bersetuju untuk bertanding di kubu kuat BN itu kerana masyarakat Tanjong Datu yang mahu beliau menyampaikan hasrat hati mereka kepada kerajaan.

"Selepas mengkaji dengan mendalam, saya bersetuju bertanding atas tiket PBDSB dan saya percaya tiada yang mustahil dan berpegang kepada prinsip, belum cuba belum tahu kerana sahaja boleh berlaku.

"Saya juga yakin dengan keajaiban dan berharap ia akan berlaku pada saya kali ini," katanya yang pernah bertanding sebagai calon Parti Amanah Negara (PAN)  di kawasan Gedong pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11).

Rapelson berkata, beliau tidak akan menggunakan poster atau kain pemidang untuk berkempen, sebaliknya akan terus bertemu pengundi untuk menyampaikan mesej kepada mereka.

"Saya akan menumpukan kepada kaedah kempen rumah ke rumah selain memanfaatkan sepenuhnya media sosial terutamanya Facebook.

"Saya yakin cara itu lebih berkesan untuk menyampaikan apa yang kita perjuangkan," katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X