Rabu, 8 Februari 2017 | 12:04am

Altimet sindir masyarakat menerusi Amboi

MENAMPILKAN karya kreatif menerusi album baharu berjudul Amboi, penyanyi hip hop, Altimet terus mengkritik masyarakat yang bagaikan 'gila' dengan media sosial.

Altimet atau nama sebenarnya Ahmad Abdul Rahman, 38, berkata ada kalangan masyarakat menggunakan pendekatan itu untuk berpesan ke arah kebaikan atau berkongsi nilai murni tetapi ada juga viral yang menyebabkan sesetengah orang berasa hati.

ALTIMET ketika mengadakan persembahan di Kuching, Sarawak tahun lalu. - Foto Jeakqleyn Yacho

"Saya percaya, tidak kiralah apa saja skop kerja kita sekarang, termasuk dunia hiburan, pastinya ia akan membabitkan platform media sosial. Saya bagaimanapun secara peribadi tidak terlalu taasub dengan teknologi itu. Hanya sesekali saya memuat naik status atau gambar di laman sosial.

"Ia bukan bererti saya anti-kemajuan kerana media sosial memang sudah menjadi keperluan dalam kehidupan sekarang. Cuma, saya tak berapa layan teknologi ini.

"Macam tahun lalu apabila saya mula 'melayannya', lalu terbit idea untuk menceritakan gelagat masyarakat yang pantas sedar terhadap apa saja yang menjadi viral, termasuk perkara yang membuka aib orang. Dari situ saya terpengaruh untuk menghasilkan lagu Amboi," katanya.

Hujung tahun lalu, Altimet muncul bersama album Amboi yang memuatkan sembilan lagu dengan lirik tulisannya sendiri, sebagai single sulung.

Seiring dengan falsafah muziknya yang lebih gemarkan karya bercorak rakyat, penyanyi yang sudah hampir dua dekad berada di dunia muzik itu yakin kecenderungannya akan berterusan buat waktu yang panjang.

"Lagu rap saya pada dasarnya berkisar pada rakyat. Ia dibuat berdasarkan apa yang saya nampak dan lalui," katanya yang berkemungkinan besar akan menjadikan lagu Sabarlah sebagai single seterusnya.

Ditanya mengenai pemilihan Amboi sebagai single pertama dan judul album, Altimet mempunyai sebab tersendiri untuk berbuat begitu.

"Saya percaya perkataan Amboi sangat 'catchy' atau mudah menangkap perhatian orang ramai. Ia perkataan Melayu dan jika tak salah pemahaman saya, ia boleh dianggap seperti memberi reaksi 'wow'. Ia juga boleh memberikan pengertian sinis. Kebiasaannya ia dianggap seperti memperli. Itu juga antara sebahagian perangai sesetengah masyarakat kita," katanya.

Altimet berkata, ketika ini sesiapa saja boleh terkenal sekelip mata jika viral menjadi.

"Sesiapa saja akan cuba dengan cara ekstrem bagi mendapat perhatian di laman sosial. Saya pernah terbaca, ada artis rap di Amerika Syarikat yang sanggup melakukan pentriman secara langsung dengan menembak pipinya bagi meraih perhatian.

"Ia perkembangan yang cukup kronik. Dia sanggup melakukan semua itu bagi mempromosikan muzik baharu. Pada satu tahap, ada yang sanggup melakukan perkara negatif sebegini kerana mahu menjadikan sesuatu itu viral.

"Namun begitu, ada yang menggunakannya dengan cara positif. Ketika ini, saya lihat orang kita tidaklah sampai ke tahap mencederakan diri untuk popular dan menjadi viral. Begitupun tidak mustahil perkara negatif sebegitu akan turut terjadi pada masa akan datang," katanya.

INFO:

- Amboi menampilkan sembilan lagu dengan liriknya ditulis sendiri oleh Altimet.

- Ia mendapat sentuhan komposer seperti SonaOne, Navigator, DJ Fuzz, Noh Salleh, Emir Hermono, Switch dan Fauzi Marzuki.

- Album itu turut menampilkan artis undangan termasuk The Kawan Band, Aman-Ra, Diandra Arjunaidi, Adeep Nahar dan Amir Jahari.

PENYANYI hip hop, Altimet terus mengkritik masyarakat yang bagaikan 'gila' dengan media sosial. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
ALTIMET atau nama sebenarnya Ahmad Abdul Rahman. - Foto Shiraz Yasmine Ali
Berita Harian X