Rabu, 8 Februari 2017 | 7:33am

Syor guna kata laluan media sosial tapis pemohon visa


John Kelly. - Foto AFP

WASHINGTON: Kedutaan Amerika Syarikat di seluruh dunia mungkin meminta kata laluan media sosial pemohon visa pada masa depan untuk melakukan pemeriksaan latar belakang.

Perkara itu ditegaskan Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, John Kelly, kelmarin.

Kelly berkata, langkah itu dibuat sebagai sebahagian usaha mengetatkan tapisan pelancong bagi mengenal pasti mereka yang boleh memberikan ancaman keselamatan.

Katanya, ia adalah antara perkara yang dipertimbangkan, terutama bagi pengunjung tujuh negara majoriti Islam yang tidak memeriksa rakyat sendiri dengan ketat iaitu Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman.

"Kami cuba meluaskan atau membuat imbasan tambahan. Kami mungkin meminta kata laluan media sosial mereka.

"Amat sukar untuk menapis penduduk tujuh negara berkenaan. Jika mereka ke sini, kami mahu katakan, apa laman web yang selalu dilayari, dan berikan kata laluan untuk membolehkan kami melihat apa yang mereka lakukan di internet," katanya.

Beliau berkata, jika enggan bekerjasama, mereka tidak dibenarkan memasuki Amerika.

Kelly menegaskan keputusan belum dibuat mengenai perkara itu tetapi berkata imbasan lebih ketat akan dibuat pada masa depan, walaupun ia bermakna pelancong terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan visa. - AFP

Berita Harian X