Rabu, 8 Februari 2017 | 1:30pm

Nafiz Muaz berlakon sambil berniaga roti


NAFIZ Muaz mengakui masih lagi membantu keluarganya berniaga roti. - Foto Nurul Shafina Jemenon

KUALA LUMPUR: Walaupun sibuk dengan kerja lakonan, bakat baharu yang sedang mencipta nama, Nafiz Muaz, 19, mengakui masih lagi membantu keluarganya berniaga roti.

Nafiz berkata, buat waktu ini beliau kerap berulang alik dari ibu kota ke Sungai Petani, Kedah, bagi mengendalikan perniagaan dikenali sebagai Perusahaan Roti SM yang diusahakan oleh datuknya sejak 32 tahun lalu.

"Memandangkan belum cukup setahun saya berada dalam industri seni, jadi saya akan terus berulang alik ke Kuala Lumpur dan Kedah kerana di kampung, saya membantu bapa saudara menguruskan perniagaan roti itu.

"Jika tiada aktiviti lakonan, saya akan pulang ke kampung dan akan sibuk dari pagi sehingga ke malam bagi menghantar roti yang dipesan pelanggan. Alhamdulillah, saya masih lagi boleh menguruskan masa saya dengan baik," katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun tambah Nafiz, andai kata kerjaya lakonannya semakin kukuh, beliau tidak teragak-agak untuk berhenti daripada perniagaan itu, malah bapanya turut merestui hasrat terbabit.

Kata Nafiz, beliau begitu meminati dunia seni lakonan sehingga merancang mahu menyambung pengajian di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam masa terdekat.

Sementara itu, Nafiz yang juga finalis Drama Festival Kuala Lumpur 2016 (DFKL 2016) sudah pun membintangi lebih tujuh drama, antaranya Pondok Itu Rumahku, Ketika Berzikir, Bibah Bebel dan Amsyar.

"Alhamdulillah, walaupun masih baharu, pihak penerbit mempercayai bakat yang saya miliki.

"Saya tahu ia bukannya mudah, apatah lagi perlu bersaing dengan ramai pelakon yang ada di negara ini. Namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk mengasah bakat menjadi pelakon serba boleh," ujarnya.

Berita Harian X