Rabu, 8 Februari 2017 | 2:56pm

Hafizh di 'petak' depan Anugerah Pilihan Ramai

HAFIZH Syahrin Abdullah. - Foto NSTP Goh Thean Howe

SEPANG: Penunggang Moto2 negara,  Hafizh Syahrin Abdullah sedang mendominasi undian untuk Anugerah Pilihan Ramai menjelang majlis penganugerahan dunia permotoran yang julung kali diadakan di Malaysia, Anugerah Sukan Permotoran SIC-MAM 2016, Isnin ini. 

Penunggang pasukan PETRONAS Raceline itu mendahului enam calon lain dengan 1,453 undi manakala bintang muda yang juga digilap menerusi Program Pembangunan Bakat PETRONAS, Jazeman Jaafar di tangga kedua dengan 1,058 undi. 

Pemandu negara dalam Siri GP2, Nabil Jefri berada di kedudukan ketiga dengan 668 undi manakala juara Moto3 di Grand Prix Argentina dan Jerman musim lalu, Khairul Idham Pawi keempat dengan 241 undian. 

Adam Norrodin yang mewakili pasukan SIC Racing Team pula di kedudukan kelima dengan 188 undi dan 'sifu' pelumba berusia 18 tahun itu, Zulfahmi Khairuddin ketinggalan 33 undian. 

Bekas pemandu Formula Satu (F1) negara, Alex Yoong memperoleh undian terendah (69) namun peminat sukan permotoran masih boleh mengundi sehingga Jumaat ini dengan melayari laman Facebook Litar Antarabangsa Sepang (SIC).  

"Setahu saya, masih tidak ada majlis anugerah bagi sukan permotoran di negara ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali dalam sidang media, hari ini. 

"Saya rasa ini adalah masa yang tepat untuk kita mula memberi pengiktirafan kepada individu yang sudah banyak menyumbang kepada sukan ini. 

"Bukan saja pelumba tetapi juga individu yang bertungkus lumus di belakang tabir bagi mempromosi serta mencipta asas untuk sukan permotoran negara dalam membantu bakat tempatan menyerlah lebih jauh di luar negara.

"Pada malam bersejarah itu nanti, tujuh anugerah disediakan, antaranya Pasukan Terbaik dua roda dan empat roda, Anugerah Kejuaraan kebangsaan, Anugerah Pilihan Ramai, Anugerah Dewan Kemasyhuran, Anugerah Pemandu Terbaik (empat roda)  dan Anugerah Penunggang Terbaik (dua roda). 

Berita Harian X