Rabu, 8 Februari 2017 | 9:52pm
 BANK Negara Malaysia.
BANK Negara Malaysia.

BNM tambah baik peraturan tukaran hasil eksport

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia berkata perubahan dalam peraturan tukaran asing yang berkuat kuasa mulai 6 Februari 2017, bukanlah satu sekatan, tetapi adalah penambahbaikan ke atas pengaturan operasi sedia ada antara bank domestik dan BNM.

"Bank-bank domestik sentiasa bebas untuk berdagang dalam mana-mana jumlah di pasaran tukaran asing antara bank domestik.

"Pengaturan operasi yang diberi penambahbaikan itu berkait kepada peraturan tukaran hasil eksport," katanya BNM dalam satu kenyataan hari ini.

BNM memaklumkan bahawa perubahan berkenaan tidak bermakna sekatan telah dilonggarkan seperti yang dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris, namun ia adalah penambahbaikan terhadap pengaturan kendalian sedia ada antara bank tempatan dengan BNM.

Akhbar itu melaporkan BNM telah melonggarkan beberapa sekatan dalam pasaran pertukaran asing untuk membenarkan beberapa dagangan transaksi dolar Amerika Syarikat/ringgit antara bank-bank domestik.

BNM berkata, bagi memudahkan keperluan perbankan perniagaan, bank domestik kini boleh menggunakan tukaran daripada wang hasil eksport bernilai kurang daripada AS$1 juta bagi setiap transaksi bagi memenuhi keperluan tukaran asing pelanggan mereka tanpa merujuk kepada BNM.

Ini membolehkan bank domestik dapat mengurus dengan lebih baik operasi tukaran pada hari itu tanpa berkompromi matlamat keseluruhan langkah-langkah yang diumumkan pada 2 Disember 2016, katanya.

Berita Harian X