Khamis, 9 Februari 2017 | 12:01am
ORANG ramai menunjukk perasaan larangan berdiri di luar Mahkamah Washington. - Foto EPA

Seluruh dunia bantah arahan eksekutif Presiden Trump


SELURUH dunia gempar, malah penduduk AS turut membantah apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangani arahan eksekutif - Foto EPA

SELURUH dunia gempar, malah penduduk AS turut membantah apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangani arahan eksekutif yang menghentikan kemasukan pelarian dan larangan sementara pelancong dari tujuh negara selama 90 hari.

Tujuh negara iaitu Iraq, Syria, Iran, Sudan, Libya, Somalia dan Yaman, diklasifikasikan 'negara yang disyaki melindungi pengganas,' selain dikaitkan dengan beberapa serangan besar-besaran di beberapa negara Eropah.

Trump dipetik berkata keperluan program larangan ke atas negara terbabit bertujuan memberi masa kepada agensi kerajaan untuk membangunkan sistem yang lebih ketat, selain memastikan visa tidak dikeluarkan terhadap individu yang disyaki mengancam keselamatan negara.

"Ia bukan untuk menyekat penduduk Islam, seperti yang dilaporkan media. Itu tidak betul.

"Ini bukan soal agama, sebaliknya mengenai keganasan dan supaya negara kita selamat. Ada 40 negara di dunia yang majoriti penduduk Islam yang tidak terbabit dengan perintah ini," menurut kenyataan Trump yang disiarkan dalam Facebook.

Rasionalnya, tindakan terburu-buru Trump selepas menandatangani arahan eksekutif pada Jumaat lalu, dianggap seolah-olah menghukum penduduk tujuh negara Islam di mana sebelum ini keluar masuk ke AS tanpa sebarang sekatan.

Arahan itu mencakupi larangan kemasukan pelarian negara lain selama 120 hari dan pelarian Syria ke AS selama-lamanya.

Trump yang dilantik sebagai Presiden AS pada 20 Januari lalu dalam kempen pilihan raya tahun lalu pernah berjanji untuk menyekat penduduk Islam memasuki AS, selain 'menjadikan Amerika gah semula.'

Ini selaras dengan beberapa insiden yang menggemparkan dunia seperti tragedi 9/11 yang menyebabkan pentadbiran Rumah Putih terdahulu dan sekarang 'berwaspada' dengan negara Islam yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas seperti militan Daesh, Houthi, Al-Qaeda dan Al-Shabaab.

Tindakan Trump turut mendapat kritikan dari beberapa pemimpin dunia seperti Canselor Jerman, Angela Merkel yang berpendapat Trump tidak perlu menjadikan latar belakang rakyat dan kepercayaan agama seseorang untuk dicurigai.

Turut mengkritik tindakan Trump ialah pemimpin pembangkang dan kumpulan hak asasi yang menyatakan arahan eksekutif Trump menyasarkan penduduk Islam kerana hartawan hartanah itu bimbang masyarakat dunia akan lantang mengkritiknya.

Beberapa Ketua Pegawai Eksekutif syarikat terbesar dunia berpendapat sekatan imigresen sementara, dengan menganggapnya 'tidak menggambarkan Amerika' dan tidak bagus untuk perniagaan.

Seperti diketahui beberapa insiden tembakan maut di AS adalah dilakukan oleh warga negaranya dan bukan negara yang dilarang memasuki AS.

Susulan tindakan Trump, baru-baru ini beratus-ratus penunjuk perasaan berkumpul di luar Rumah Putih bagi membantah larangan itu.

Bantahan turut diadakan di beberapa luar lapangan terbang di AS, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Miami, John F. Kennedy (JFK) dan Dulles.

INFO:

  • Tujuh negara iaitu Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman dilarang memasuki AS selama 90 hari.
  • Pelarian lain-lain negara selama 120 dan dan Syria ialah selama-lamanya.
  • Kategori visa seperti diplomat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak termasuk dalam larangan itu.
  • Perintah memperkenalkan had seramai 50,000 pelarian bagi tahun 2017 berbanding 110,000 ketika pentadbiran bekas presiden Barack Obama.
  • Keutamaan diberikan kepada agama minoriti yang dianiaya di negara mereka.

Jumlah pelancong tujuh negara yang terkesan apabila tiba di AS pada 2015.

1. Iran-35,000 orang

2. Iraq-22,000 orang

3. Libya-3,500 orang.

4. Somalia- 7,000 orang

5. Sudan- 4,800 orang

6. Syria-17,000 orang

7. Yaman- 6,000 orang

Berita Harian X