Khamis, 9 Februari 2017 | 2:28pm

Kerajaan tak dedah formula kiraan harga minyak - Hamzah


HAMZAH (kanan) pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Kabinet akan memutuskan sama ada formula pengiraan harga bahan api perlu didedahkan kepada umum selepas membincangkannya secara mendalam, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Katanya, beliau dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan membawa perkara itu ke Kabinet selepas pihak pembangkang membuat perkiraan sendiri sehingga mengelirukan rakyat.

Hamzah berkata, kos produk dikira adalah berdasarkan kepada MOPS (Mean of Platts Singapore) untuk petrol RON97, RON95 dan diesel.

Katanya, pengiraan yang dibuat Ahli Parlimen DAP, Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee baru-baru ini adalah berdasarkan harga minyak mentah.

"Harga minyak mentah dengan minyak yang ditapis adalah berbeza. Harga minyak mentah berdasarkan harga pasaran dunia terutama Pertubuhan Negara-Negara Pengeluar Petroleum (OPEC).

"Kalau kilang penapis terbakar atau sedang diselenggarakan serta ada kakitangan bercuti, akan menyebabkan bekalan terhad sekali gus meningkatkan harga minyak yang ditapis itu.

"Walaupun harga minyak mentah turun, tidak semestinya keadaan sama berlaku pada minyak yang ditapis. Saya sebagai menteri yang menjaga pengguna, tidak mungkin saya mahu menyusahkan rakyat, " katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

42 dibaca
Berita Harian X