Khamis, 9 Februari 2017 | 6:41pm

Mercedes-Benz E 300 AMG kini di Malaysia

MERCEDEZ-BENZ E 300 AMG.

KUALA LUMPUR: Mercedes-Benz Malaysia memperkenalkan varian E-Class terbaharu E 300 AMG di pasaran tempatan, yang menawarkan pelbagai ciri limusin premium mewah.

Model yang dijual RM458,888 seunit sebagai harga atas jalan tidak termasuk insurans itu, melengkapkan barisan varian E-Class di pasaran tempatan yang merangkumi E 250 Exclusive, E 250 Avantgarde dan E 200 Avantgarde.

E 300 AMG memiliki kuasa 241 hp (245 PS) dan tork 370 Nm yang dikuasakan oleh enjin petrol M 274 DE 20 AL 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder.

Enjin itu dipadankan dengan transmisi automatik 9G-Tronic 'torque-converter' sembilan-kelajuan dengan pedal penukar gear Direct Select, bagi penyaluran kuasa ke roda belakang.

E 300 AMG mampu memecut dari 0-100 km/j dalam 6.3 saat.

Selain itu, ia turut didatangkan dengan lima mod operasi pilihan (Comfort, Eco, Sport, Sport+ serta Individual) menerusi suis Dynamic Select.

Bagi meminimumkan penggunaan bahan api, enjin itu turut dilengkapi fungsi ECO start/stop.

Antara elemen standard pada model E 300 AMG ialah rim aloi ringan lima jejari-berkembar AMG 19-inci, Keyless-GO, akses but bebas-tangan, kamera 360-sudut dan lampu utama Multibeam LED.

Varian ini turut dilengkapi bumbung panoramik, pengecas telefon bimbit tanpa wayar serta material kulit Artico yang membaluti papan pemuka dan paparan utama.

Ia juga mempunyai dengan kokpit skrin lebar, termasuk dua skrin 12.3-inci, setiap satunya dengan resolusi 1,920 x 720 piksel. Kokpit digital itu juga didatangkan dengan tiga rekaan skrin iaitu Classic, Sport dan Progressive.

Sistem hiburan pada E 300 AMG dikendalikan COMAND online dengan sambungan Apple CarPlay dan Androin Auto, Touch Control sentuhan-sensitif pada stereng dan kawalan konsol tengah.

Sistem itu dipadankan dengan sistem bunyi sekeliling Burmester bersama 13-pembesar suara dan sembilan saluran untuk amplifier.

INFO

Mercedes-Benz E 300 AMG

* Kapasiti Enjin - 1, 991cc

* Transmisi - automatik 9G-Tronic 'torque-converter' sembilan-kelajuan

* Kelajuan maksimum - 250 km/j

* Pecutan dari 0-100 km/j dalam 6.3 saat

* Harga atas jalan tidak termasuk insurans - RM458,888

Berita Harian X