Jumaat, 10 Februari 2017 | 10:33am

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini sejajar dengan pasaran serantau berikutan rali di Wall Street memulihkan sentimen pelabur dan minat risiko.

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada paras 1,699.29, meningkat 10.79 mata daripada penutup Rabu lalu, 1,688.50. Terdahulu, ia dibuka 11.23 mata lebih tinggi kepada 1,699.73.

Pasaran tempatan ditutup semalam berikutan sambutan Thaipusam.

Peniaga berkata, optimis baharu terhadap pengumuman cukai oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dalam beberapa minggu lagi melonjakkan minat belian.

"Trump berjanji pengumuman cukai korporat luar biasa dalam tempoh dua hingga tiga minggu, melegakan sedikit kebimbangan mengenai kejelasan janjinya terhadap rangsangan fiskal," kata peniaga.

Beliau berkata, Indeks FBM KLCI dijangka didagangkan dengan paras rintangan 1,690/1,696, sementara paras sokongan 1,680/1,660.

Kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 201 berbanding 60 dengan 216 kaunter tidak berubah, 1,220 tidak didagangkan dan 17 lain digantung.

Jumlah dagangan harian berada pada paras 132.74 juta saham bernilai RM64.14 juta.

Indeks FBM Emas 63.35 mata lebih tinggi kepada 11,966.14, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 56.54 mata kepada 12,502.29 dan Indeks FBMT100 melonjak 63.37 mata kepada 11,648.64.

Indeks FBM 70 merosot 35.04 mata kepada 13,827.99, sementara FBM Ace meningkat 28.77 mata kepada 5,240.55.

Dari segi sektor, Indeks Perladangan melonjak 53.76 mata kepada 8,213.80, Indeks Perindustrian 14.09 mata lebih tinggi kepada 3,230.92 dan Indeks Kewangan meningkat 105.26 mata kepada 14,972.02.

Dalam kalangan saham mewah, Maybank naik 10 sen kepada RM8.30, Public Bank meningkat lapan sen kepada RM20.06, Tenaga tambah enam sen kepada RM13.52 dan Sime Darby tiga sen lebih tinggi kepada RM9.01. - BERNAMA

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X