;
Jumaat, 10 Februari 2017 | 3:23pm

TM rugi RM50j setahun akibat kes curi kabel

PANGKOR: Telekom Malaysia Bhd (TM) rugi hampir RM50 juta setahun akibat kecurian kabel telekomunikasi, kata Presiden Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Seri Dr Halim Shafie.

Beliau berkata kebanyakan kabel yang dicuri itu adalah kabel tembaga untuk perkhidmatan Streamyx dan syarikat minyak.

"Kebanyakan kawasan kampung yang mempunyai perkhidmatan internet jalur lebar Streamyx menggunakan (kabel) tembaga, malah stesen minyak turut menggunakan kabel berkenaan, jadi jika kabel itu putus, maka hubungan telekomunikasi terputus sehingga mengakibatkan penduduk kampung membuat aduan tiada liputan (jalur lebar) tetapi sebenarnya berlaku kecurian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pemberian Nombor Premis Pulau Pangkor di sini, hari ini.

Halim berkata, susulan kejadian itu, TM mengambil masa yang lama dan memerlukan kos yang tinggi bagi menggantikan kabel berkenaan.


ZAMBRY (tiga dari kiri) beramah mesra dengan penerima nombor premis pada Majlis Perasmian Pemberian Nombor Premis Pulau Pangkor di Pangkor, hari ini. - Foto Muhaizan Yahya

Katanya, beliau menyokong seruan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam ucapannya yang menyeru orang ramai membanteras kegiatan curi kabel di negeri itu.

"Apa yang dibangkitkan Menteri Besar adalah masalah serius dan kami mengalu-alukan saranan dan penekanan beliau untuk membanteras insiden kecurian kabel tembaga," katanya.

Terdahulu Zambry ketika berucap pada majlis itu berkata, beliau mahu orang ramai bekerjasama sekaligus menyalurkan maklumat berhubung kejadian curi kabel meminta pihak berkuasa membendung perkara itu.

Dalam perkembangan lain, Halim berkata penduduk di Pulau Pangkor bakal menikmati perkhidmatan jalur lebar mudah alih generasi baru 4G, Evolusi Jangka Panjang (LTE) selepas pemasangan kabel gentian optik di dasar laut dari Lumut ke Pasir Bogak, Pulau Pangkor siap pada penghujung tahun ini.

"Apabila sudah ada gentian optik pada akhir tahun ini sepanjang sembilan kilometer (km) itu, bukan sahaja kelajuan talian tetap malah (kelajuan) perkhidmatan selular turut dipertingkatkan dengan teknologi 4G LTE itu," katanya.

147 dibaca
Berita Harian X