;
Jumaat, 10 Februari 2017 | 11:35pm

Sunway City bangun hartanah di Cheras

KUALA LUMPUR: Sunway Group menerusi anak syarikat milik penuh, Sunway City Sdn Bhd (SunCity), memeterai perjanjian usaha sama dengan Austral Meridian Property Sdn Bhd (AMP) bagi cadangan membangunkan tanah pajakan seluas 3.42 hektar di Jalan Peel, Cheras.

SunCity, dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia akan membayar AMP RM500,001 untuk 50 peratus campur satu pegangan saham dan sehingga RM140 juta bagi menyelesaikan liabiliti sedia ada AMP.

"Pembangunan yang dicadangkan di atas tanah yang baru dibeli yang terletak bertentangan pembangunan Sunway Velocity itu akan mengandungi apartmen perkhidmatan, kedai runcit dan pejabat.

"Dengan anggaran GDV RM2 bilion, pembangunan itu akan dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun," katanya.

Dengan cadangan pembangunan itu, kumpulan itu menjangka Sunway Velocity bakal meraih manfaat daripada jumlah penduduk yang bertambah, dan pada masa sama penduduk di pembangunan baharu itu akan meraih manfaat daripada kemudahan yang ditawarkan di Sunway Velocity.

Sementara itu, kemudahan Sunway Velocity akan dipertingkat lagi apabila siapnya sebuah hotel empat bintang, sebuah pusat perubatan dan dua menara pejabat korporat yang kini dalam pembinaan.

96 dibaca
Berita Harian X