Sabtu, 11 Februari 2017 | 3:21pm

Tuisyen rakyat bantu pelajar kurang berkemampuan

BATU CAVES: Pusat Tuisyen Rakyat akan dibuka di 114 Parlimen di seluruh negara menerusi Yayasan Pelajaran MARA (YPM) bulan depan, depan pada Mac ini bagi membantu pelajar kurang berkemampuan yang berpotensi tinggi dalam pelajaran.


Zahida Zarik Khan. - Foto Amir Irsyad Omar

Timbalan Pengerusi YPM, Datuk Zahida Zarik Khan, berkata pusat tuisyen itu akan dirasmikan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dengan kerjasama Puteri UMNO.

Zahida yang juga Naib Ketua Puteri UMNO berkata, kelas tuisyen percuma itu diberi kepada pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Setiap kelas menempatkan kira-kira 100 pelajar mengikut kesesuaian manakala sesi akan dikendalikan oleh guru termasuk Puteri UMNO.

"Kita menyediakan kelas tuisyen ini sebagai motivasi kepada mereka belajar dengan lebih baik," katanya selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) ke-30 Sekolah Kebangsaan (1) Selayang Baru.

Dalam majlis itu, seramai 100 murid miskin dan anak yatim SK 1 Selayang Baru menerima sumbangan beg sekolah daripada YPM.

Berita Harian X