Sabtu, 11 Februari 2017 | 7:48pm

Russia guna ruang udara Iran serang Syria

Pesawat tempur Russia menggunakan ruang udara Iran untuk melancarkan serangan udara di Syria.
Pesawat tempur Russia menggunakan ruang udara Iran untuk melancarkan serangan udara di Syria.

TEHRAN: Pesawat tempur Russia menggunakan ruang udara Iran untuk melancarkan serangan udara di Syria, kata pegawai republik itu hari ini.

"Jet pengebom Russia berterusan menggunakan ruang udara Iran kerana kami mempunyai kerjasama strategik dengan Russia.

"Penggunaan ruang udara Iran oleh pesawat Russia menjadi subjek keputusan bersama, mengambil kira keperluan memerangi keganasan," kata Laksamana Ali Shamkhani kepada agensi berita FARS dan IRNA.

Shamkhani ialah Setiausaha Majlis Keselamatan Agung Kebangsaan dan penyelaras politik, keselamatan dan tindakan ketenteraan Iran dengan Russia.

Pesawat pengebom Russia mula menggunakan pangkalan tentera Iran pada Ogos 2016 untuk menyerang kedudukan militan di Syria.

Kedua-dua negara bekerjasama rapat di Syria dan memberikan bantuan politik, kewangan serta ketenteraan kepada rejim Presiden Bashar al-Assad.

Tehran menghantar penasihat ketenteraan dan pejuang 'sukarela' untuk membantu tentera Syria berhadapan pemisah dan militan. - AFP

Berita Harian X