Ahad, 12 Februari 2017 | 12:01am

Dana perpustakaan kurang jejas beli buku

PERPUSTAKAAN sebagai pusat sumber rujukan dalam membentuk masyarakat berilmu pengetahuan.

KUALA LUMPUR: Pengurangan ketara dana perpustakaan awam untuk pembelian buku terbitan baharu sejak beberapa tahun ini, bukan hanya memberi kesan kepada pergerakan industri buku, bahkan menjejaskan peranan institusi berkenaan.

Ia turut memberi kesan kepada peranan perpustakaan bukan saja dalam memperkaya penyampaian sumber maklumat, malah dalam usahanya membentuk masyarakat berilmu pengetahuan.

Timbalan Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Arief Hakim Sani Rahmat, berkata pemotongan dana pembelian buku secara berterusan akan menggagalkan fungsi perpustakaan hari ini.

Katanya, berdasarkan kaji selidik MABOPA dalam kalangan ahlinya, dianggarkan pembelian buku oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) sepanjang tahun lalu hanya sekitar RM2 juta.

"Jumlah ini menunjukkan kejatuhan dari tahun terdahulu berbanding pembelian buku oleh PNM pada 2015, iaitu RM5 juta.

"Saya lihat jika polisi pemotongan besar-besaran dana perpustakaan ini tidak diperbetulkan, bahan di perpustakaan awam akan ketinggalan sekitar lima hingga lapan tahun berbanding apa yang terdapat di kedai buku" katanya kepada Sastera & Budaya di sini.

Peningkatan pembelian

Melalui analisis perbandingan pembelian PNM bagi Koleksi Perpustakaan Desa yang dilakukan MABOPA, bilangan naskhah pesanan bagi pembelian buku PNM membabitkan ahli MABOPA dicatatkan sebanyak 35 peratus pada 2012; 40 peratus (2013); 33 peratus (2014) dan 73 peratus (2015) daripada jumlah keseluruhan pembelian.

Arief Hakim berkata, peningkatan pembelian itu dapat dilihat selepas persatuan yang memayungi hampir 200 ahli itu mengemukakan laporan mengenai pembelian buku ahli MABOPA dari PNM yang dianggap terlalu rendah.

"Meskipun lebih banyak terbitan ahli MABOPA dibeli oleh PNM, nilai dari segi ringgitnya jatuh," katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah PNM, Datuk Nafisah Ahmad, dalam tembu bual bersama Sastera & Budaya, mengakui ada buku perpustakaan yang kurang diminati disebabkan kekinian maklumat atau kandungannya.

Meskipun mengakui statistik pinjaman bahan perpustakaan di seluruh negara sedikit menyusut berbanding tahun sebelumnya, Nafisah berkata, data itu juga didorong faktor bahan bacaan kini yang tidak lagi terhad kepada sekadar buku fizikal saja.

"Perlu diingat bahan bacaan masyarakat kini tidak lagi terhad kepada buku fizikal. Generasi Y dan netizen lebih gemar mengakses bahan bacaan melalui internet, malah statistik peminjaman bahan digital kami bagi tiga tahun lalu menunjukkan peningkatan ketara," katanya.

Arief Hakim berkata, beliau melihat perpustakaan cuba mencari model perniagaan baharu yang lebih jimat dengan menawarkan pinjaman buku elektronik atau e-buku yang kosnya lebih rendah buat perpustakaan.

"Bagaimanapun secara keseluruhan, pemotongan dana pembelian buku secara berterusan ini akan melingkupkan fungsi perpustakaan hari ini.

"Ia juga turut menjejaskan peranan baharu perpustakaan masa depan dan pembinaan modal insan negara secara umumnya," katanya.

FAKTA NOMBOR:

RM2 juta

Pembelian buku oleh PNM pada 2016

Berita Harian X