Ahad, 12 Februari 2017 | 7:06am

Mane bantu Liverpool benam Tottenham


PEMAIN Liverpool, Sadio Mane meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Tottenham Hotspur di Anfield, awal pagi tadi. - Foto Reuters

LONDON: Dua gol Sadio Mane dalam tempoh tiga minit pada babak pertama memastikan kebangkitan Liverpool apabila menewaskan Tottenham Hotspur 2-0 di Anfield, awal pagi tadi.

Ia adalah kemenangan pertama liga dilakar anak buah Jurgen Klopp pada 2017 selepas enam perlawanan dan menamatkan rekod tanpa kalah Spur dalam sembilan perlawanan berturut-turut.

"Inilah cara sebenar yang kamu perlu bermain ketika menentang Tottenham dan sudah tentu ini menunjukkan reaksi pasukan kami," kata Klopp.

"Ia tindak balas cukup sempurna dan ia satu prestasi yang hebat."

Liverpool kembali ke kelompok empat teratas, mengatasi Manchester City yang hanya berkunjung ke Bournemouth, awal pagi Selasa.

Tottenham kekal di tempat kedua dengan berkongsi mata dengan Arsenal yang menundukkan Hull City 2-0.

Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino menegaskan anak buahnya gagal beraksi pada prestasi sebenar.

"Seluruh pasukan agak teruk. Ia berkisar kepada keseimbangan dan hari ini ianya teruk. Inilah hakikatnya.

"Untuk 45 minit pertama, kamu dapat lihat pasukan belum bersedia untuk bertarung untuk Liga Perdana Inggeris."

Mane membuka tirai jaringan pada minit ke-16 apabila menyudahkan hantaran Georginio Wijnaldum dan dua minit kemudian merembat masuk gol kedua selepas percubaan Adam Lallana serta Roberto Firmino ditampan Hugo Lloris. - AFP

Berita Harian X