Ahad, 12 Februari 2017 | 7:27am
PEMAIN Real Madrid, Cristiano Ronaldo meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Ossasuna pada aksi La Liga di Stadium El Sadar, Pamplona, awal pagi tadi. - Foto AFP

Real kekal pendahulu La Liga


PEMAIN Real Madrid meraikan jaringan Isco dalam perlawanan menentang Ossasuna pada aksi La Liga di Stadium El Sadar, Pamplona, awal pagi tadi. - Foto AP

MADRID: Real Madrid terus mengekalkan status pendahulu La Liga dengan kelebihan satu mata berbanding Barcelona selepas terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan pasukan tercorot, Ossasuna 3-1 awal pagi tadi.

Terdahulu Barcelona tidak menghadapi masalah apabila membelasah Alaves 6-0 dengan Lionel Messi, Luis Suarez dan Neymar masing-masing mencetak gol.

Bagaimanapun, Real masih mempunyai dua perlawanan dalam tangan berbanding Barcelona.

"Tidak ada banyak perbezaan antara kedua-dua pasukan. Memang benar ia perlawanan membabitkan pendahulu dan pasukan tercorot tetapi kamu tetap perlu beraksi.

"Pasukan lawan sentiasa memberikan kesukaran ketika menentang kami. Kami perlu hadapi semua ini tetapi akhirnya kami dapat apa yang dihajati," kata pengendali Real, Zinadine Zidane.

Ketika perlawanan baharu mencecah 15 minit, pemain Osassuna, Tano Bonnin terpaksa dikeluarkan selepas patah kaki selepas bertembung dengan Isco dan insiden berkenaan jelas mengejutkan pemain kedua-dua pasukan.

Sembilan minit kemudian, Osassuna menerima tamparan apabila Cristiano Ronaldo meledak gol pertama Real namun kedudukan kembali seimbang hasil jaringan penyamaan Sergio Leon yang tenang menyungkit bola mengatasi Keylor Navas.

Isco kembali meletakkan Real di depan sebelum Lucas Vazquez melengkapkan kemenangan buat skuad Los Blancos. - AFP

28 dibaca
Berita Harian X