Ahad, 12 Februari 2017 | 7:55am

Persembahan kesenian hujung minggu di Terengganu


PENGARAH Jabatan Pelancongan Negeri, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak. - Foto Mohd Syafiq Ambak

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri menerusi Jabatan Pelancongan negeri melancarkan aktiviti persembahan hujung minggu malam tadi, bertujuan memartabat kembali aktiviti kesenian Terengganu, selain membuka platform kepada penggiat seni tempatan untuk mengetengahkan bakat mereka.

Pengarah Jabatan Pelancongan negeri, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, berkata aktiviti kesenian itu akan diadakan setiap minggu pada hari Sabtu bermula jam 9 hingga 11 malam di Dataran Batu Buruk, di sini.

"Satu kekuatan negeri Terengganu ialah kepelbagaian elemen kesenian dan kebudayaannya. Jadi inilah yang kita hendak bawakan pada persembahan hujung minggu kepada orang ramai termasuk pelancong dalam dan luar negara yang datang ke negeri ini.

"Antara aktiviti kesenian yang akan ditampilkan termasuklah persembahan wayang kulit, tarian rodat, nyanyian lagu kebudayaan dan dikir barat," katanya pada sidang media pelancaran persembahan hujung minggu itu di Dataran Batu Buruk di sini, malam tadi.

Beliau berkata, pihaknya mendapat kerjasama daripada Persatuan Pelancongan Negeri yang membantu mencari bakat atau kumpulan yang akan mengadakan persembahan berkenaan.

"Kita mahu mempopularkan kembali persembahan sebegini baik daripada segi tradisi mahupun memberi pendedahan kepada generasi muda keunikan budaya dan seni warisan yang kita miliki.

"Malah kita juga mahu generasi muda mempelbagaikan persembahan tradisional ini menjadi sesuatu yang lebih menarik bersesuaian dengan peredaran masa, namun masih mengekalkan keaslian tradisi kesenian ini," katanya.

Berita Harian X