Ahad, 12 Februari 2017 | 4:17pm

Isyariana tak kisah watak pembantu


Isyariana Che Azmi. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Masih menganggap dirinya hijau dalam arena seni, Isyariana Che Azmi, 27, tidak kisah diberi peranan pembantu dalam drama lakonannya.

Mula membintangi drama Married Tapi Benci pada 2015, kini dua dramanya yang diadaptasi daripada novel, Urusan Hati Cik Drama Queen dan Cik Serba Tahu, sedang menanti giliran untuk disiarkan.

Mula aktif sebagai penyanyi pada 2012, wanita yang menyerlahkan bakatnya menerusi Akademi Fantasia 2016 tak kisah jika rezeki lebih menyerlah dalam dunia lakonan.

"Saya realistik dalam hal ini. Memang saya lebih suka menyanyi tapi kalau sudah tertulis rezeki berlakon, semuanya diterima dengan lapang dada. Kalau diberi kesempatan mengacara selepas ini, kenapa tidak saya mencubanya? Cuma dalam soal kerja, saya mahu fokus kepada satu bidang. Tak mahu pula nanti yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.

"Boleh dikatakan saat ini, tumpuan saya kepada lakonan. Rezeki tak putus dalam bidang ini. Tak kiralah sekalipun dapat watak pembantu, saya okay. Saya tak gusar kalau tiada watak utama. Memang siapa yang tak mahu watak heroin? Tapi saya lebih bersyukur kalau dapat watak sampingan. Ia jadi proses pembelajaran

"Sayapun bukan pandai lagi berlakon," katanya.

Mengikat kontrak selama tiga tahun bersama Astro, Isyariana bertuah kerana mendapat bimbingan daripada mentor, Datuk Aznil Nawawi yang sentiasa memantau bakat naungan syarikat itu.

"Setiap minggu ada kelas yang mengkhusus kepada aspek pengacaraan, lakonan dan nyanyian. Macam kelas lakonan, pelakon Zahiril Adzim yang mengajar kami. Aspek nyanyian pula, Cikgu Syafi yang membantu," katanya yang berharap dapat muncul dengan single berentak balada pada masa depan.

Berita Harian X