Ahad, 12 Februari 2017 | 4:52pm

Hakisan Pantai Mengabang Telipot hampiri jalan

KUALA NERUS: Kerajaan Terengganu akan menutup sementara jalan menghubungkan Pantai Mengabang Telipot dan Pengkalan Maras di sini, jika hakisan semakin teruk bagi memastikan keselamatan pengguna tidak terjejas.

Tinjauan BH di pantai itu hari ini mendapati, kerja mengorek pasir dan menambak kawasan pantai giat dijalankan bagi mengelak jalan terbabit runtuh kerana hakisan yang semakin hampir dengan jalan raya.


Wan Nawawi Wan Ismail. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail, berkata pihaknya sudah mengarahkan tindakan segera dilakukan bagi menghalang hakisan merebak ke jalan raya.

Katanya, pihaknya mendapati hakisan yang melanda pantai itu semakin teruk dan bimbang hakisan semakin parah berikutan ombak besar diramal berlaku sekitar jam 8 hingga 9 malam ini.

"Saya bergegas meninjau ke pantai ini untuk melihat sendiri dan mendapati hakisan yang melanda sejak dua hari lalu begitu teruk yang memerlukan tindakan segera.

"Saya juga sudah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil tindakan segera bagi memastikan masalah hakisan ini di tahap terkawal daripada terus merebak ke kawasan lain," katanya ketika melawat Pantai Mengabang Telipot di sini, tadi.


JENTERA yang digunakan untuk membaik pulih hakisan pantai yang semakin teruk berikutan ombak besar melanda di Kampung Kolam, Kuala Nerus. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Terengganu Utara, Abdul Rahman A Bakar, berkata pihaknya bimbang pelbagai langkah yang diambil kerajaan dilihat tidak berkesan mengurangkan masalah hakisan khususnya di pantai berkenaan.


SEBUAH gerai menunggu masa untuk runtuh selepas pesisir pantai di Kampung Kolam, Mengabang Telipot semakin terhakis selepas dipukul ombak dan air pasang besar hari ini. - Foto BERNAMA

Berita Harian X