Ahad, 12 Februari 2017 | 6:11pm

SPR mahu PRK Tanjong Datu lebih baik dari Balingian

DATUK Seri Mohd Hashim Abdullah (tengah) bersama Panglima 1 Divisyen Infantri Tentera Darat Mejar Jeneral Datuk stephen Mundaw (tiga dari kanan) meninjau Pusat Pengundian Awal, bagi Pilihan Raya Kecil DUN Tanjong Datu di Dewan ULS Kem Sempadi, Lundu. - Foto Nadim Bokhari

LUNDU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangka proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu lebih baik dari PRK Balingian pada 2014.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, ramalan itu berdasarkan suasana berkempen yang cukup tenang sejak hari pertama hingga kini.

Selain itu, ketiadaan parti pembangkang dari luar Sarawak juga menjadi antara faktor penyumbang kepada situasi kempen yang tenteram.

"Tidak ada poster berbentuk provokasi atau menyerang personaliti dilihat di seluruh kawasan ini. Yang kita nampak hanyalah poster yang menyeru ke arah pemeliharaan keharmonian, kekeluargaan dan kesepakatan," katanya ketika meninjau pusat pengundian awal di Dewan Masyarakat Kampung Sungai Lundu di sini, hari ini.

Mohd Hashim berkata, PRK Balingian yang diadakan pada 29 Mac 2014 mencatat rekod pilihan raya paling tenang di negara ini.

"Kita bukan sahaja mengharapkan PRK Tanjong Datu setanding PRK Balingian tiga tahun lalu, malah percaya ia akan menjadi lebih baik dari itu," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPR Sarawak, Datuk Takun Sunggah, mengesahkan sebanyak 86.2 peratus atau 162 daripada 188 pengundi awal dari kalangan anggota tentera dan polis menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.

Dua pusat pengundian iaitu Dewan Masyarakat Kampung Sungai Lundu dan Dewan Unit Lapang Sasar, Kem Sampadi dibuka mulai jam 8 pagi tadi dan ditutup pada jam 5 petang.

PRK Tanjong Datu yang membabitkan pertembungan tiga penjuru itu diadakan selepas penyandangnya Allahyarham Tan Sri Adenan Satem meninggal dunia 11 Januari lalu.

Barisan Nasional diwakili Puan Sri Jamilah Anu manakala Parti Reformasi Negeri diwakili Johnny Aput dan Rapelson Richard Hamit mewakili Parti Bansa Dayak Sarawak Baru.

Berita Harian X