Ahad, 12 Februari 2017 | 6:32pm

FAP janji insiden kekecohan tidak berulang

GEORGETOWN: Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) hari ini meluahkan rasa kecewa dengan kekecohan yang berlaku di Stadium Negeri Batu Kawan malam tadi dan berjanji akan memastikan insiden tidak berulang.

Presidennya, Zairil Khir Johari, berkata FAP juga terkejut dengan tindakan ganas segelintir penyokong pasukan bola sepak Pulau Pinang itu dan sedia bekerjasama dengan polis dalam menjalankan siasatan.

"FAP akan mengambil langkah untuk memastikan kejadian ini tidak berulang dan pada masa yang sama, kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua petugas, khususnya pihak polis, yang berjaya mengawal keadaan.

"Kepada peminat Pulau Pinang yang setia, jutaan terima kasih kami ucapkan dan semoga terus memberi sokongan dalam usaha FAP meningkatkan tahap pasukan negeri," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Katanya, demi rakyat dan negeri, pasukan bola sepak Pulau Pinang akan terus berusaha untuk mencapai keputusan yang lebih baik pada masa akan datang.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam tadi, enam lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung rusuhan di luar stadium sejurus tamat perlawanan Liga Super Pulau Pinang menentang Sarawak.

Kekecohan dikatakan tercetus apabila penyokong fanatik skuad Harimau Kumbang itu bertindak liar selepas menyaksikan pasukan mereka tewas 0-1 kepada Sarawak. - BERNAMA

Berita Harian X