Ahad, 12 Februari 2017 | 11:44pm

Burnley ikat Chelsea


PENYERANG Chelsea, Diego Costa diasak pemain Burnley, Ben Mee (dua dari kiri) dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Turf Moor, Burnley. - Foto AP

LONDON: Chelsea terpaksa berpuas hati untuk berkongsi satu mata apabila diikat Burnley 1-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di laman lawan, Turf Moor sebentar tadi.

Pendahulu liga itu tampak berada di landasan terbaik untuk melakar kemenangan apabila membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi Pedro namun gol penyamaan Burnley berpunca sepakan percuma meranapkan impian itu.

Gol Chelsea diperoleh selepas Pedro bijak memanfaat hantaran Victor Moses sebelum melepaskan rembatan yang gagal ditangkap penjaga gol tuan rumah, Tom Heaton.

Dua minit sebelum itu, pelawat hampir di depan namun Diego Costa gagal menyempurnakan peluang apabila sekadar merembat lemah dan ia mudah diselamatkan.

Pada minit ke-19, Burnley memiliki peluang untuk menyamakan kedudukan namun rembatan Ashley Barnes berpunca gerakan satu dua menarik dengan George Boyd gagal disudahkan.

Burnley memperoleh gol penyamaan yang diharapkan menerusi sepakan percuma cantik Robbie Brady yang gagal dijangkau Thibaut Courtois pada minit ke-24.


PEMAIN Burnley, Robbie Brady (tiga dari kanan) meraikan jaringan bersama rakan pasukan. - Foto AFP

Chelsea bagaikan tersentak dengan jaringan itu dan mulai tampak goyang apabila Burnley berhasil melakukan beberapa cubaan berbahaya namun mujur Courtois beraksi cemerlang termasuk cubaan Matthew Lowton pada minit ke-36.

Tiga minit selepas babak kedua bersambung, Burnley memperoleh peluang terbaik berpunca kesilapan pertahanan Chelsea namun Courtois sekali lagi berada di tahap terbaik.

Pertukaran pemain mulai dilakukan kedua-dua pasukan selepas permainan melepasi minit ke-60 namun sekali pun perlawanan tambah rancak, tiada tambahan jaringan berjaya dijelmakan.

Keputusan itu menyaksikan Chelsea menambah jurang di puncak liga kepada 10 berbanding Tottenham Hotspur di tangga kedua. - AGENSI


PEMAIN Burnley, Robbie Brady (kiri) cuba menyekat pemain Chelsea, Victor Moses dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Turf Moor, Burnley. - Foto EPA

Berita Harian X