Isnin, 13 Februari 2017 | 12:03am

Tunggu lapan tahun, watak Baby lonjak populariti Ainul Aishah

KUALA LUMPUR: Pernah tiga tahun menghilangkan diri daripada dunia seni, tuah menyebelahi pelakon hitam manis, Ainul Aishah Azizun, 31, apabila watak Baby yang dilakonkan dalam drama rantaian 100 episod, Lara Aishah, menjadi sebutan ramai.

Bertatih membina nama dalam dunia lakonan sejak tahun 2008, akui Ainul, dia bagai mendapat peluang kedua apabila mengecapi erti kemasyhuran selepas hampir sedekad mengabdikan diri dengan seni.

Biarpun drama arahan Riza Baharudin yang diadaptasi daripada siri telenovela Mexico popular, La Loba, sudah berakhir, bulan lalu, impak watak 'Baby' yang dilakonkan Ainul dirasai hingga sekarang.

Akui Ainul yang bertuah berlakon bersama bintang berpengalaman seperti Datuk Eizlan Yusof, Fasha Sandha, Dian P Ramlee dan Maria Farida dalam drama terbitan Global Station itu, watak 'Baby' mengembalikan ingatannya ketika mula-mula meraih perhatian dalam bidang lakonan.

"Watak Baby benar-benar memberi impak. Peminat dan pemerhati dunia seni seolah perasan kehadiran saya dalam persada seni.

"Ke mana saja saya pergi, watak Baby diingati peminat. Saya rasa seperti ketika mula-mula berlakon tanpa henti dulu, apabila nama saya menjadi perhatian," katanya kepada BH Plus.


BEREHAT tiga tahun pada 2011 demi memberi tumpuan kepada perkara lain dalam hidup, Ainul berlakon semula pada 2014. - Foto Aziah Azmee

Berehat tiga tahun pada 2011 demi memberi tumpuan kepada perkara lain dalam hidup, Ainul berlakon semula pada 2014.

"Apabila saya membuat keputusan berhenti berlakon dan meninggalkan sementara dunia seni, saya rasa sunyi dan perhatian ramai mula terhakis.

"Jadi, saya aktif semula di mana sepanjang tahun lalu, saya berikan perhatian penuh kepada karier lakonan hingga terpaksa mengetepikan sementara pelaburan dalam dunia perniagaan.

"Tetapi pada 2015, saya kembali menguruskan perniagaan selepas ada pelabur yang berminat mengembangkan operasi syarikat," katanya yang mengusahakan perniagaan biskut A Cookies.

Rezeki lebih murah

Ainul berkata, tawaran syarikat produksi, Global Station untuk membintangi drama rantaian Lara Aishah, bagai kena dengan masanya.

"Jadi, saya terima tawaran itu. Mulai April hingga Disember tahun lalu saya berikan perhatian kepada penggambaran drama rantaian ini. Semua tawaran lain saya tolak demi watak Baby," katanya.


AINUL pernah digelar 'Baby Selena' kerana cukup menggemari penyanyi antarabangsa, Selena Gomez. - Foto Aziah Azmee

Ainul yang pernah berjinak-jinak dengan dunia nyanyian beberapa tahun lalu mengaku watak Baby sangat penting dalam drama yang ditunjangi Fasha Sandha dan Nazim Othman itu.

"Watak Baby dikelilingi peranan penting. Watak ibu saya dilakonkan Maria Farida manakala ayah, dihidupkan Datuk Eizlan Yusof.

"Pelakon veteran, Dian P Ramlee pula menjadi nenek saya. Alhamdulillah, drama ini disukai ramai dan rating produksi ini juga bagus.

"Bagi saya, watak Baby ini ada cerita tersendiri kerana berebut lelaki bekerja sebagai pemandu keluarga dengan ibu sendiri. Saya bersyukur menjadi sebahagian daripada kejayaan drama Lara Aishah," katanya yang mengaku rezekinya bertambah murah selepas drama itu melabuhkan tirainya.

Digelar Baby Selena

Teringat kenangan bersama kru sepanjang penggambaran drama Lara Aishah, Ainul membuka cerita dirinya digelar 'Baby Selena' kerana cukup menggemari penyanyi antarabangsa, Selena Gomez.


AINUL Aishah Bertatih membina nama dalam dunia lakonan sejak tahun 2008. - Foto Aziah Azmee

"Semuanya gara-gara konsert jelajah dunia Gomez di Kuala Lumpur, tahun lalu. Tak berpeluang menonton konsert terbabit, saya hanya menyaksikannya melalui aplikasi Snapchat dan Instagram peminat.

"Disebabkan saya 'menggilai' Selena, hampir saban hari di set penggambaran saya berkongsi cerita mengenai Gomez.

"Melihatkan saya taksub dengan penyanyi itu, kru dan teman pelakon menggelarkan saya 'Baby Selena'. Terus nama itu melekat sampai sekarang," katanya.

Mengenai perniagaan biskutnya, Ainul mengaku dia tidak akan berhenti daripada menjual biskut biarpun kadangkala terpaksa menolak tempahan berikutan sibuk di lokasi.

"Saya sudah sebati dengan perniagaan ini. Saya suka membakar biskut hasil air tangan sendiri. Tahun depan, saya pasti mengembangkan lagi perniagaan ini," katanya.

Ainul berkata, dia juga merancang mengeluarkan pakaian wanita di bawah jenama ALove, tahun depan. Ketika ini, dia mempromosikan seluar panjang untuk wanita secara kecil-kecilan.

"Insya-Allah, saya merancang menghasilkan koleksi baju raya wanita tahun hadapan dengan rakan kongsi," katanya.


AINUL Aishah mengusahakan perniagaan biskut A Cookies. - Foto Aziah Azmee

INFO
Ainul Aishah Azizun:

  • Menceburi bidang lakonan sejak 2008.
  • Digelar 'Baby Selena' kerana cukup menggemari penyanyi antarabangsa, Selena Gomez.
  • Berehat tiga tahun pada 2011 untuk memberi tumpuan kepada perkara lain sebelum berlakon semula pada 2014.
PELAKON, Ainul Aishah Azizun. - Foto Aziah Azmee
Berita Harian X