Isnin, 13 Februari 2017 | 12:04am

Ikan patin gulai tempoyak dihidang ala Barat

KUANTAN: Keenakan masakan daging salai masak lemak dan ikan patin gulai tempoyak memberi ilham kepada pemilik restoran Jaman Tory, di sini, menghasilkan inovasi menu baharu menjadi hidangan makanan ala Barat.

Affandie Ahmad, 42, berani mencuba dengan menghasilkan lima menu baharu gabungan menu tradisional dan Barat diolah daripada resipi tradisional, sekali gus menjadi tarikan pelanggan di restoran itu.

"Pelanggan sudah biasa menikmati menu daging salai masak lemak dan ikan patin gulai tempoyak. Jadi, kami tambah baik masakan tradisional tanpa menjejaskan rasa aslinya dalam hidangan ala Barat.

"Idea menggabungkan dua jenis masakan ini bermula apabila kami mengambil keputusan untuk mewujudkan ruang makan lebih eksklusif kepada pelanggan iaitu di Jaman Tory Signature selain menyediakan sesuatu yang agak berbeza daripada restoran lain," katanya ketika ditemui di sini.

Affandie yang juga dikenali sebagai Tory berkata, Jaman Tory Signature berkonsepkan eksklusif dengan mengetengahkan dekorasi menggunakan perabot kayu dan hiasan antik bagi mewujudkan suasana zaman dahulu di ruang makan berkenaan.

Katanya, menu yang disediakan sejak Disember lalu adalah hasil perbincangan bersama pengurusnya yang juga chef di restoran berkenaan, Hasrul Afdzan Hassan, 33, untuk memberi kelainan dalam masakan hidangannya tetapi masih mengekalkan keaslian rasa.

AFFANDIE (kanan) bersama Hasrul menunjukkan menu istimewa di restoran Jaman Tory. - Foto Farizul Hafiz Awang

Patin kukus.

Spageti daging salai. - Foto Farizul Hafiz Awang

"Walaupun menu yang disediakan ini berkonsepkan ala Barat, kita masih mengekalkan rasa asli masakan kerana ia adalah 'signature' restoran ini. Setakat ini, pelanggan berpuas hati dengan hidangan yang diperkenalkan.

"Menu yang disediakan ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan terutama spageti daging salai yang dijual pada harga RM18, spageti patin (RM15) dan smoke beef rib (RM30) bagi setiap hidangan.

"Pelanggan juga berpeluang menikmati keenakan ikan patin yang dimasak ala Barat iaitu steak patin (RM25) dan patin kukus (RM20) yang dihidangkan dengan nasi dan ulam, dekat sini," katanya.

Graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor, itu berkata, selain mengetengahkan elemen zaman dahulu di ruang makan berhawa dingin, pelanggan juga berpeluang menikmati hidangan yang menggabungkan masakan tradisional dan Barat menggunakan pinggan, sudu dan cawan lama.

"Kami percaya hasil gabungan masakan ini dengan harga berpatutan akan memberi kepuasan kepada mereka untuk menjadikan restoran ini sebagai pilihan setiap kali berkunjung ke daerah ini," katanya.

Fakta nombor

3 - cawangan di Kuantan

90 - kakitangan

Patin kukus.
Spageti patin. - Foto Farizul Hafiz Awang
HIASAN dalaman di Restoran Jaman Tory Signature. - Foto Farizul Hafiz Awang
PENGUSAHA Jaman Tory, Affandie Ahmad. - Foto Farizul Hafiz Awang
AFFANDIE (kanan) bersama Hasrul menunjukkan menu istimewa di restoran Jaman Tory. - Foto Farizul Hafiz Awang
Steak patin. - Foto Farizul Hafiz Awang
Smoke Beef Ribs.
Berita Harian X