Isnin, 13 Februari 2017 | 7:32am

Amaran hujan lebat di Pantai Timur

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat di tiga buah negeri di Semenanjung iaitu di Kelantan, Terengganu dan Pahang sejak Sabtu lalu akan berlarutan hingga hari ini.

Amaran hujan lebat peringkat kuning membabitkan tiga daerah di Kelantan iaitu di Bachok, Pasir Puteh dan Machang, keseluruhan negeri Terengganu serta daerah Pekan, Kuantan dan Jerantut di negeri Pahang.

MetMalaysia turut meningkatkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama kepada kategori kedua, hari ini dengan angin kencang Timur Laut berkelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam (kmsj) dan ombak mencapai ketinggian 4.5 meter di perairan Condore, Reef North, Layang-layang dan Palawan hingga Jumaat ini.

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri," katanya menerusi satu kenyataan dikeluarkan jam 5 pagi tadi.

Sementara itu, amaran angin kencang kategori pertama turut dikeluarkan untuk kawasan perairan Samui, Tioman, Bunguran, Kuching, Reef South, Labuan dan Sulu yang mana angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter.

Katanya, keadaan itu dijangka berlarutan hingga Jumaat depan dan berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Dalam pada itu, ribut petir di perairan Reef South dijangka berterusan hingga pagi ini dan keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil.

Bagi perairan Malaysia, amaran kategori pertama turut dikeluarkan membabitkan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak, Labuan serta Sabah di kawasan Pedalaman, Pantai Barat, Kudat dan Sandakan.

"Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku sehingga Jumaat.

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut," katanya.

Selain itu, katanya kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut sehingga Jumaat depan, manakala ribut petir di perairan Sarawak dijangka berterusan sehingga pagi ini.

"Angin kencang dijangka bertiup sehingga 50 kmsj serta laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan keadaan ini berbahaya kepada bot-bot kecil," katanya lagi.

Berita Harian X