Isnin, 13 Februari 2017 | 10:20am

Conte masih bimbang ancaman 5 pasukan

ANTONIO Conte. - Foto Reuters

BURNLEY: Antonio Conte percaya mana-mana enam pasukan boleh memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris di sebalik skuad kendaliannya Chelsea mengukuhkan cengkaman di puncak liga dengan kelebihan 10 mata selepas seri 1-1 di Burnley, malam tadi.

Chelsea berdepan kunjungan sukar di Turf Moor dengan Burnley memiliki rekod ketiga terbaik beraksi di laman sendiri di belakang Chelsea dan Tottenham Hotspur.

Walaupun mendapat keputusan baik, dan terus kukuh di puncak liga dengan mengatasi Tottenham di tempat kedua, Conte bagaimanapun enggan membincangkan peluang yang semakin cerah buat The Blues untuk memenangi kejuaraan.

"Ia perkara biasa. Masih terdapat 13 perlawanan lagi sebelum ia berakhir," katanya dengan kelebihan 10 mata pasukannya akan tinggal lapan seandainya Manchester City melakar kemenangan di Bournemouth, awal pagi esok.

"Jika seseorang fikir liga sudah berakhir, saya boleh katakan kepada kamu sekarang, tidak.

"Bagi saya terdapat enam pasukan boleh memenangi liga dan apa sahaja boleh berlaku. Kami perlu terus berkerja dengan cara begini.

"Saya gembira dengan komitmen dan keinginan untuk mencatat kemenangan. Kami hanya mengutip satu mata, tetapi saya pasti dengan komitmen.

"Kami perlu fikir mengenai diri kami sendiri, bukan pasukan lain. Penting beraksi dengan permainan kami sendiri, berfikir tentang permainan kamu dan kemudian baru berfikir mengenai keputusan lain."

Ketika Spurs ketinggalan 10 mata di belakang, terdapat empat pasukan -- Arsenal, Liverpool, City serta Manchester United -- yang ketinggalan dua mata di belakang barisan Mauricio Pochettino dan bersedia merampas kedudukan Chelsea sekiranya prestasi pendahulu itu merudum.

Pedro meletakkan Chelsea di depan di Burnley, yang memburu kemenangan keenam berturut-turut di laman sendiri buat pertama kali dalam tempoh 56 tahun.

Bagaimanapun, Robbie Brady yang mencatat rekod perpindahan STG13 juta (RM70.2 juta) dari Norwich City bulan lalu, menyamakan kedudukan dengan sepakan percuma menarik. - AFP

Berita Harian X